Enam Pendaki Hilang di Gunung Gerah Selamat Dibawa Keluar Tanpa Kecederaan

Enam pendaki yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan, berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat pada malam Isnin.

Menurut laporan Harian Metro, semua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di Kem Kulim sebelum dibawa keluar dari kawasan pendakian dan tiba di Kampung Lelar kira-kira jam 8.45 malam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar, Gerik bagi menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan.

“Mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar, Gerik, untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Perkembangan operasi sehingga jam 9.20 malam mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan berkenaan ditemukan oleh 10 anggota pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Enam individu itu terdiri daripada empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak serta dua malim gunung.

Terdahulu, pihak polis berjaya menghubungi seorang daripada malim gunung yang bersama kumpulan tersebut sebelum mengesahkan bahawa semua pendaki berada dalam keadaan selamat.

Operasi membawa keluar kesemua mangsa kemudiannya digerakkan dari kawasan pendakian menuju ke penempatan berhampiran.

Sebelum mereka ditemukan, operasi mencari dan menyelamat dipergiatkan dengan pesawat Mi-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pengkalan Udara Subang dijadualkan melakukan tinjauan udara di sepanjang jalur pendakian.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!