Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands sejak awal pagi Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia dalam semak di tepi jalan Kampung Bukit Jeruk, Kampung Beting Lintang, Jerteh pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim, berkata mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal ditemukan orang awam kira-kira jam 6.40 petang.
Menurutnya, pihak polis percaya mayat tersebut adalah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak awal pagi Jumaat lalu.
“Setakat ini polis percaya mayat yang ditemui itu adalah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar yang dilaporkan hilang oleh keluarganya.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia pada malam dia tidak dapat dihubungi selepas motosikal jenis Yamaha R15 yang ditunggangnya dipercayai terbabas,” katanya ketika dihubungi.
Rozaime berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses pengecaman oleh waris dan bedah siasat.
Kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen sebelum ini dilaporkan berlaku ketika dia bersama keluarganya dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis lalu.
Mangsa menunggang motosikal Yamaha R15 manakala ibu bapanya bersama ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.
Bapa mangsa, Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata kali terakhir mereka bertemu ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu sebelum meneruskan perjalanan.
Katanya, selepas itu beliau bersama keluarga bergerak terlebih dahulu.
“Kira-kira jam 12.30 tengah malam, kami berhenti makan di Kampung Anak Ikan, Besut dan menghubungi Azreeq supaya berhenti di kedai makan yang sama, namun dia tidak muncul,” katanya.
Beliau berkata, selepas selesai makan dan anaknya masih belum tiba, mereka meneruskan perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dengan andaian remaja itu akan menyusul dari belakang.
Sepanjang perjalanan, katanya, isterinya cuba menghubungi Azreeq namun panggilan tidak dijawab dan mereka menyangka telefon bimbit remaja itu mungkin kehabisan bateri.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
SHARE:
