Perubahan ketara seorang warga emas selepas kematian isteri tercinta lapan bulan lalu membimbangkan keluarganya sebelum lelaki berusia 74 tahun itu dilaporkan hilang di Kuala Pertang, Kuala Krai pada 9 September lalu.
Anak angkatnya, Syafiq Izwan Abdullah, 33, berkata bapanya, Fauzi Deris sebelum ini telah mendapatkan rawatan dan bertemu doktor pakar psikiatri di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai pada 12 Ogos lalu.
Menurutnya, dia turut membawa Fauzi bertemu doktor pakar psikiatri pada 24 Ogos, namun janji temu seterusnya pada 15 September tidak sempat dihadiri selepas bapanya hilang enam hari sebelum tarikh berkenaan.
“Saya juga ada bawa abah jumpa doktor pakar psikiatri pada 24 Ogos tetapi janji temu seterusnya pada 15 Sept tidak sempat bawa sebab abah dah hilang enam hari sebelum itu.
“Perubahan pada diri abah berlaku sejak isterinya, Esah Mamat meninggal dunia lapan bulan lepas akibat paru-paru berair,” katanya kepada Bernama di Kampung Kuala Pertang hari ini.
Biasanya Ke Kedai Kopi Berdekatan
Syafiq Izwan berkata, sebelum kejadian, bapanya sering pergi ke sebuah kedai kopi yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.
Kebiasaannya, warga emas itu akan pulang seperti biasa selepas ke kedai berkenaan.
Namun pada hari kejadian, Fauzi dipercayai mengubah laluan dan tidak pulang ke rumah.
Anak saudara mangsa, Mohd Syawal Zulkefli, 30, pula berkata dia menyedari kehilangan mangsa kira-kira jam 8.30 malam pada hari berkenaan selepas pulang daripada menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan.
“Memang setiap malam saya teman pak cik tidur di rumah tetapi hari itu saya tengok rumah masih gelap dan saya segera buka lampu untuk carinya di sekeliling rumah tetapi tidak jumpa,” katanya.
SAR Sudah Ditamatkan, Tinjauan Masih Dijalankan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian PBT II, Zulhilmi Baharudin berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan pada Selasa lalu, pihaknya masih melakukan tinjauan secara berkala di sekitar kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihak bomba akan memberi respons semula terhadap kes itu sekiranya terdapat petunjuk mengenai keberadaan mangsa.
“Sebelum ini, kita telah mencari mangsa dalam radius lebih lima kilometer meliputi kawasan ladang kelapa sawit dengan dibantu Unit Pengesan (K9) dan seekor anjing, serta agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Fauzi diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di 09-7450999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di 09-9666222.
Semalam, Bernama melaporkan warga emas berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang sejak 9 September di Kuala Pertang masih belum ditemukan.
Polis turut meminta bantuan orang ramai untuk membantu mengesan mangsa.
Sumber: Bernama
