Tiga buruh etnik Rohingya termasuk seorang wanita dan seorang majikan warga tempatan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki Rohingya di hadapan tanah perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kota Bharu.
Perintah reman terhadap keempat-empat suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Tuan Fakhrul Razzi Abd Hamid selepas membenarkan permohonan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Mangsa Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian
Terdahulu, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berhubung kematian lelaki Rohingya berusia 18 tahun di sebuah rumah kongsi di hadapan tanah perkuburan Islam Taman Desa Kujid, malam tadi.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 10.30 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian leher yang dipercayai akibat ditikam menggunakan objek tajam.
Dua suspek, masing-masing seorang majikan dan lelaki Rohingya, ditahan di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang wanita dan seorang lagi lelaki Rohingya ditahan di Selising, Pasir Puteh.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti punca serta kejadian sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.
Sumber: Berita Harian
