Kes kematian pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, kini memasuki fasa perbicaraan apabila dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan membunuh mangsa.
Dua tertuduh yang bekerja sebagai buruh iaitu Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Didakwa Bunuh Mangsa Pada 13 April
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Muhammad Zakir Fikry di Kampung Binjai, Banggu, Kota Bharu pada jam 11 malam, 13 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, wajib dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Empat Lelaki Turut Didakwa Buang Mangsa Di Tepi Jalan
Dalam perkembangan sama, Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel bersama dua rakan mereka iaitu Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengetahui kes bunuh membabitkan mangsa yang sama, selain membuang mangsa di tepi jalan.
Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengetahui kesalahan bunuh membabitkan Muhammad Zakir Fikry dan membuang mangsa di tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim Zikrullah dan Mohamed Eerman Daniel daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 3.30 pagi di tepi jalan Kampung Chap Bekelam, Bachok pada 14 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala kesemua tertuduh juga tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 25 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes ini sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas mangsa dilaporkan maut dipercayai akibat dipukul.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
