Apa yang pada mulanya dipercayai hanya sebuah majlis tertutup akhirnya menjadi perhatian ramai apabila rakaman program bertemakan disko retro dan hippie era 1960-an hingga 1980-an tular di media sosial.
Kini, program yang berlangsung di sebuah restoran di tepi Sungai Kelantan itu sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana didakwa diadakan tanpa lesen hiburan.
MPKB-BRI Mulakan Siasatan
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, MPKB-BRI menerima aduan daripada orang awam dan kini sedang meneliti kes berkenaan.
"Pihak MPKB-BRI memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan dalam proses mengambil tindakan."
Beliau berkata, penganjuran hiburan tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025.
Selain itu, program berkenaan juga dipercayai melanggar Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.
Sekiranya berlaku penyalahgunaan premis, lesen perniagaan juga boleh ditarik balik, manakala peserta yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.
Pemilik Restoran Beri Penjelasan
Di sebalik kontroversi itu, pemilik restoran JL Fara, Fara Sharina Zamari menegaskan beliau tidak mengetahui program sebenar yang berlangsung di premisnya.
Menurutnya, ketika acara diadakan beliau berada di luar negara.
"Saya tidak tahu pelanggan menganjurkan majlis perjumpaan dan sambutan jadi yang bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an."
Beliau menjelaskan individu yang membuat tempahan hanya memaklumkan mahu mengadakan sambutan hari lahir melibatkan kira-kira 40 wanita.
"Saya ada didatangi individu untuk menyewa tempat bagi mengadakan sambutan hari jadi untuk golongan wanita sahaja iaitu kira-kira 40 orang."
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai bentuk sebenar program selepas kandungan berkaitan acara itu tular di media sosial.
"Saya sudah menghubungi individu berkenaan selepas pihak MPKB-BRI meminta penjelasan daripada saya," katanya.
Orang Ramai Diingatkan Patuhi Undang-Undang
Dalam masa sama, Hilmi mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program hiburan supaya mendapatkan lesen dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.
"Sekiranya mahu menganjurkan program hiburan, ia perlu mengikut saluran yang betul, termasuk memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.
Sumber: Berita Harian
