Perjalanan pulang dua sahabat petang tadi berakhir dengan tragedi yang tidak disangka.
Dalam keadaan hujan dan angin kencang yang melanda Kampung Permatang Pasir Gunung, Bachok, sebatang pokok kelapa tiba-tiba tumbang lalu menghempap motosikal yang dinaiki mereka.
Tragedi Di Laluan Sawah
Akibat kejadian itu, calon SPM berusia 17 tahun, Nik Mohd Haikal Abd Rahim, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, pula mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, leher dan punggung sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Bachok untuk bedah siasat,” kata Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin.
Laluan Yang Sering Digunakan
Menurut Penghulu JPKKP Permatang Pasir, laluan tersebut merupakan jalan yang biasa digunakan penduduk kampung dan pelajar sekolah.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas kawasan berkenaan dilanda hujan dan angin kencang selama kira-kira lima minit, selain menyifatkannya sebagai insiden pertama yang meragut nyawa di laluan tersebut.
Turut menyentuh hati, pembonceng motosikal itu difahamkan masih menggunakan tongkat kerana sedang pulih daripada kecederaan patah kaki akibat kemalangan sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian
