Seorang lelaki berusia 27 tahun mengakui tidak pernah menyesal mengahwini wanita yang 37 tahun lebih tua daripadanya, malah menyifatkan isterinya sebagai cinta pertama dalam hidupnya.
Muhd Sabri Razaman berkata, sebelum mengenali isterinya, Norlida Muhammed Salleh, 64, dia tidak pernah bercinta dengan mana-mana wanita.
“Saya tak pernah bercinta dengan mana-mana wanita sebelum kenal dengan isteri, jadi dia ibarat cinta pertama saya.
“Saya nampak dia sayang saya seperti nyawanya sendiri,” katanya.
Pasangan dari Jelebu, Negeri Sembilan itu mendirikan rumah tangga pada tahun 2020 dan kini sudah enam tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri.
Bermula Dengan Pertemuan Di Pasar Mini
Menurut Muhd Sabri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, dia mengenali Norlida ketika wanita itu bekerja di sebuah pasar mini.
Daripada sekadar menyapa, hubungan mereka berkembang menjadi persahabatan selama dua tahun sebelum dia meluahkan hasrat untuk berkahwin.
“Dua tahun juga kami berkawan dan akhirnya, saya luahkan hasrat nak berkahwin dengannya.
“Isteri bersetuju cuma selepas beritahu keluarga, ada yang tak terima,” katanya.
Walaupun berdepan tentangan daripada segelintir ahli keluarga, Muhd Sabri tetap meneruskan hasratnya kerana menganggap perkahwinan itu adalah jodoh yang telah ditentukan.
Diterima Baik Keluarga Isteri
Muhd Sabri berkata, kehadirannya diterima baik oleh enam anak tiri termasuk ada yang lebih berusia daripadanya.
Malah, dia juga mempunyai hubungan rapat dengan cucu-cucu isterinya dan gembira kerana dapat bergelar datuk pada usia muda.
Menurutnya, sepanjang enam tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah bergaduh dan dia sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
“Walaupun lebih muda, saya tak pernah kikis duit isteri kerana siang malam bekerja sebab sedar tanggungjawab suami mencari rezeki bagi menyara isteri.
“Saya berjanji akan menjaga isteri hingga akhir hayat dan tak akan tinggalkannya,” katanya.
Anggap Suami Seperti Anak Pada Awalnya
Sementara itu, Norlida mengakui dia tidak pernah merancang untuk berkahwin semula selepas berpisah dengan bekas suaminya pada tahun 2016.
Katanya, pada awal perkenalan, dia hanya menganggap Muhd Sabri seperti anak sendiri sebelum hubungan mereka berubah menjadi pasangan hidup.
“Sebaliknya, saya hanya ambil berat dan anggap suami macam anak pada awalnya tapi akhirnya jadi pasangan.
“Waktu suami ajak kahwin, saya minta dia uruskan semua dan dia buat jadi nampak kesungguhannya,” katanya.
Menurut Norlida, walaupun suaminya jauh lebih muda, Muhd Sabri seorang yang matang, penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap dirinya.
“Sebelum pergi kerja, dia akan urut saya dulu dan kalau makan bersama, suami akan sediakan air untuk saya.
“Itulah tabiatnya dan susah nak dapat lelaki sepertinya kerana saya bukan berharta tapi dia tetap mahukan saya jadi nampak keikhlasannya,” katanya.
Norlida turut mengakui dia mempercayai suaminya sepenuhnya dan tidak pernah memeriksa telefon bimbit Muhd Sabri.
Malah, walaupun pernah mencadangkan agar suaminya berkahwin lagi, Muhd Sabri menolak cadangan itu dan memilih untuk terus setia bersamanya.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
