Pasangan dari Kelantan yang bernikah di Thailand kini boleh menarik nafas lega apabila proses pendaftaran semula perkahwinan menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini, lapor Utusan.
Ini kerana mereka tidak lagi diwajibkan mendapatkan surat pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla sebelum mendaftarkan perkahwinan di negeri ini.
Menurut sumber pihak berkuasa agama negeri, pasangan hanya perlu membawa sijil nikah, hadir ke pejabat agama dan mahkamah serta menjelaskan denda yang dikenakan mengikut peraturan.
“Sebelum ini pasangan yang nikah di Thailand perlu mendapatkan surat pengesahan dari konsulat.
“Tetapi kita telah kuatkuasakan peraturan baharu iaitu tidak perlu dapatkan pengesahan dari konsulat.”
Bagaimanapun, pasangan diingatkan supaya tidak mengambil mudah proses pendaftaran semula kerana ia melibatkan pelbagai urusan penting pada masa hadapan.
Menurut sumber itu, kegagalan mendaftarkan perkahwinan boleh menyukarkan urusan berkaitan sijil kelahiran anak, kematian, pembahagian harta, hal keluarga dan pelbagai dokumentasi lain.
“Sebab itu mana-mana pasangan yang bernikah di Thailand perlu mendaftarkan semula pernikahan di negeri ini.
“Gunalah kemudahan yang disediakan ini dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan keluarga.”
Sebelum ini, hampir 100,000 pasangan dilaporkan berdepan risiko implikasi undang-undang selepas Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menghentikan pengeluaran surat pengesahan perkahwinan kepada pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah.
Langkah baharu ini dijangka memudahkan urusan pendaftaran semula perkahwinan khususnya bagi pasangan dari Kelantan, namun mereka tetap perlu memastikan semua prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dipatuhi.
Sumber: Utusan
