Sepatutnya hari itu dipenuhi senyuman, gelak tawa dan kenangan indah bersama keluarga serta sahabat handai.
Namun bagi Hareena Fatini Mohd Tahar dan suaminya, Muhammad Haziq Rusle, detik bahagia pada majlis bertandang mereka bertukar menjadi saat yang mencemaskan apabila pengantin lelaki tiba-tiba tercekik tulang ikan ketika menikmati hidangan makan beradab.
Menurut Hareena, suaminya makan seperti biasa dan tidak gelojoh. Namun ketika sedang menikmati hidangan, Muhammad Haziq memaklumkan dia terasa seperti tercekik tulang ikan.
“Suami beritahu dia rasa seperti tercekik tulang ikan. Saya terus panik dan mengajaknya ke belakang pelamin untuk ke tandas.
“Dalam perjalanan ke tandas, dia berlari sebelum muntah dan selepas itu nampak seperti sudah semakin baik,” katanya.
Menyangka keadaan sudah kembali pulih, mereka kembali ke meja makan.
Malah, ibu bapanya turut menyarankan Muhammad Haziq menelan nasi yang digumpal bagi mengurangkan rasa tidak selesa pada tekaknya.
Namun keadaan kembali berubah ketika mereka mahu meneruskan sesi bergambar bersama ahli keluarga.
Hareena melihat mata suaminya mula kemerahan sebelum dia tiba-tiba muntah di kawasan tempat makan.
“Saya nampak matanya sudah merah dan bertanya sama ada dia okey atau tidak. Ketika saya mahu mengambil air, dia datang kepada saya sebelum tiba-tiba muntah di kawasan tempat makan.
“Apabila dia mula muntah-muntah dan mengalami sedikit sesak nafas, kami terus membawanya untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Mereka segera ke sebuah klinik, namun doktor menasihatkan supaya Muhammad Haziq dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Di hospital, dia menjalani pemeriksaan termasuk X-ray dan diberikan ubat tahan sakit sebelum dibenarkan kembali ke dewan sementara menunggu doktor pakar tiba.
Walaupun masih menahan kesakitan, Muhammad Haziq memilih untuk kembali ke majlis.
Bukan kerana dirinya sudah sihat, tetapi kerana tidak sanggup mengecewakan rakan-rakan yang hadir semata-mata untuk meraikan hari bahagianya.
“Kami mempunyai tempoh kira-kira sejam sebelum doktor pakar tiba dan doktor benarkan kami kembali ke dewan untuk menyelesaikan majlis.
“Suami juga mahu kembali kerana kasihan ramai rakannya sudah datang. Dia agak sedih kerana tidak sempat bertemu mereka sedangkan majlis perkahwinan sepatutnya menjadi peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan,” kata Hareena.
Sebaik majlis selesai sekitar jam 4 petang, mereka kembali semula ke hospital.
Pemeriksaan menggunakan kamera mendapati terdapat kesan luka pada tekak akibat tulang ikan, namun tulang tersebut sudah tiada dan dipercayai telah masuk ke dalam perut.
Walaupun tidak memerlukan pembedahan, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam kepada Muhammad Haziq.
Menurut Hareena, suaminya kini mengakui masih trauma dan serik untuk menikmati hidangan ikan buat sementara waktu.
“Dia memang cakap selepas ini tidak mahu makan ikan. Mungkin ambil masa untuk dia makan ikan semula kerana masih trauma, tambahan pula kejadian itu berlaku ketika majlis bertandang kami,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Thread @hareenafatini
