Di sebalik kehilangan rumah dan harta benda akibat kebakaran, seorang peniaga di Pasir Hor, Kota Bharu tetap memilih untuk berkongsi rezeki apabila menyedekahkan semua makanan yang sepatutnya dijual kepada jiran dan orang ramai.
Kejadian kebakaran itu berlaku di Kampung Pasir Jelatang, Pasir Hor, kira-kira jam 5.56 pagi Jumaat, dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Pemilik rumah, Hamzah Mahmood, 63, bersama isterinya, Rosenah Repian, 59, dan 11 ahli keluarga lain terpaksa keluar menyelamatkan diri apabila rumah mereka dijilat api.
Menurut Hamzah, kejadian disedari isterinya yang sedang bersiap untuk keluar berniaga makanan di Pasar Wakaf Bharu, Tumpat.
Dia pula terkejut apabila melihat asap tebal dan api sedang membakar bahagian dapur rumah ketika mahu mengejutkan salah seorang anaknya yang merupakan imam di sebuah madrasah berdekatan.
Sempat selamatkan diri bersama cucu berusia dua bulan
Hamzah berkata, bekalan elektrik di rumah terputus ketika keadaan menjadi kelam-kabut.
Dia bersama anak-anak segera membawa keluar cucu-cucu mereka, termasuk seorang bayi berusia dua bulan, bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kebakaran.
“Kami tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah dan semua dokumen peribadi juga hangus terbakar. Semua makanan yang sudah siap dimasak sudah berada di atas trak pikap jenis Toyota Hilux dan kami hanya menunggu masa solat subuh sebelum keluar berniaga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut Hamzah, mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda mahupun dokumen peribadi yang berada di dalam rumah.
Semua makanan disedekahkan kepada jiran
Walaupun terpaksa membatalkan hasrat untuk berniaga selepas rumah mereka terbakar, Hamzah dan isterinya mengambil keputusan untuk menyedekahkan semua makanan yang telah siap dimasak kepada jiran tetangga.
Makanan yang sepatutnya dibawa ke pasar itu kemudian dibungkus untuk diberikan kepada jiran dan penduduk Kampung Pasir Jelatang.
Dalam kejadian itu, Hamzah menganggarkan kerugian melebihi RM500,000, merangkumi rumah, barangan berharga serta wang tunai yang gagal diselamatkan.
Bomba ambil masa 15 minit kawal api
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Rusdi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 5.56 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, api sudah marak ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran, manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Kosmo!
