Jambatan Bailey Dipasang Di Jalan Gua Musang-Kota Bharu, Dijangka Siap Seminggu

Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang jambatan Bailey di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar susulan kejadian lubang benam yang menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.

Menurut kenyataan JKR pada 11 Oktober, kerja pemasangan jambatan itu dijangka bermula pada 14 Oktober dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan.

Bagaimanapun, tempoh berkenaan bergantung pada kestabilan tanah serta keadaan keselamatan di lokasi.

Kejadian itu melibatkan laluan Persekutuan FT08 di Seksyen 205.556 hingga 205.564, yang ditutup sepenuhnya sejak semalam bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu melalui Gua Musang dan sebaliknya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, Jalan Pulai-Bandar Baru Gua Musang serta mematuhi arahan dan papan tanda keselamatan,” menurut kenyataan itu.

JKR turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan di lokasi dan mengutamakan keselamatan pengguna sepanjang kerja pemasangan dijalankan.

Pasukan Pemasangan Ke Lokasi

Pengarah JKR Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail ketika dihubungi berkata, pasukan pemasangan jambatan berkenaan akan ke lokasi pada 12 Oktober untuk membuat pemeriksaan awal.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang, Datuk Mohd Roshdi Ismail berkata, langkah mitigasi sementara akan dilaksanakan di dua lokasi terjejas bagi mengurangkan risiko keselamatan kepada orang awam sementara menunggu kerja pembaikan menyeluruh.

Untuk rekod, laluan FT08 berhampiran Taman Rekreasi Kesedar itu ditutup pada 10 Oktober selepas berlaku kejadian lubang benam sedalam kira-kira lapan meter.

Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan dan mematuhi semua arahan keselamatan sehingga laluan berkenaan dibuka semula.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!