Seorang pesara lelaki berusia 67 tahun direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol cucu perempuannya yang berusia 13 tahun.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass di Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas permohonan dibuat pihak polis bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Kes tersebut dipercayai terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat dua hari lalu.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini tinggal bersama datuknya di sebuah rumah di daerah ini selepas ibu bapanya berpisah.
Bagaimanapun, pada April lalu, mangsa telah dibawa pulang oleh ibunya ke sebuah negeri di utara Semenanjung.
Menurut maklumat awal, ibu mangsa mula mengesyaki sesuatu selepas mendapati anaknya berhubung dengan seorang kenalan, sebelum remaja itu akhirnya mendedahkan kejadian sebenar.
Mangsa dipercayai mengaku menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh yang didakwa dilakukan oleh datuknya sendiri.
Siasatan turut mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku sepanjang tahun lalu dengan insiden terakhir dilaporkan berlaku pada Disember tahun sama.
Susulan laporan dibuat, pihak polis menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
