Pasukan Gerakan Am (PGA) melumpuhkan kegiatan memproses dan menjual air ketum selepas merampas 623 liter air ketum serta 268 kilogram daun ketum bernilai hampir RM60,000 dalam dua serbuan berasingan pada Rabu minggu lalu.
Operasi dilakukan anggota Batalion 8 PGA di Kampung Pulau Pisang dan Pulau Pak Mat di sini turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kampung Pulau Pisang.
Menurut beliau, pihaknya berjaya merampas dua perahu bersama enjin galah, 119 kilogram daun ketum serta 46 bungkusan air ketum selepas suspek melarikan diri ke kawasan semak.
Dua Lelaki Ditahan Ketika Proses Air Ketum
Katanya, operasi kedua kira-kira jam 3 petang di kawasan semak Pulau Pak Mat berjaya menahan dua lelaki tempatan ketika sedang memproses dan membungkus air ketum.
“Hasil keseluruhan operasi berjaya merampas pelbagai peralatan memproses ketum termasuk periuk, tong gas, dapur memasak dan perahu selain 623 liter air ketum serta 268 kilogram daun ketum.
“Saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah dan hasil rampasan serta tangkapan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan penjualan air ketum di kawasan berkenaan aktif sejak tiga tahun lalu.
Tambahnya, suspek dipercayai bekerja secara sambilan memproses air ketum dengan upah harian sebelum minuman itu dijual pada harga RM10 sebungkus.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
