Persepsi Ketum Sebagai Ubat Hanya Mitos – AADK

Persepsi bahawa ketum mempunyai khasiat sebagai ubat disifatkan sebagai mitos kerana tumbuhan itu boleh mencetuskan ketagihan serta mendatangkan kesan buruk berpanjangan kepada tubuh.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, masih ramai menganggap ketum sekadar minuman biasa dan mampu mengubati penyakit tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengambilan ketum secara berterusan boleh mengakibatkan ketagihan berpanjangan dengan kesannya hampir sama seperti penggunaan dadah jenis opiat.

“Di luar sana banyak cerita-cerita di jalanan, bahawa ambil ketum dia boleh menghilangkan penyakit, siapa yang ada masalah kencing manis, boleh hilang kencing manis.

“Ini hanyalah persepsi, sebab ketum mampu memberi ketagihan yang serius sebenarnya sekiranya diambil secara berterusan. Malah ada yang beranggapan boleh ganti heroin dengan ketum.

“Ada yang anggap kalau dah tidak mampu beli heroin dia ambil ketum sebab dia rasa mungkin kesan dia adalah hampir sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Menembak AADK Bersama Media di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Zainuddin Abdullah; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar serta pegawai kanan AADK.

AADK Mampu Kesan Mitragynine

Ruslin berkata, ketum tertakluk di bawah Akta Racun 1952, manakala pindaan undang-undang terbaharu membolehkan tindakan diambil terhadap penggunanya.

AADK kini turut dilengkapi kit ujian bagi mengesan mitragynine, iaitu bahan psikoaktif yang terdapat di dalam tumbuhan berkenaan.

“Di pihak kami tindakan diambil tegas, kita buat operasi kita juga uji urin untuk ketum untuk pastikan mereka yang terbabit boleh diambil tindakan.

“Jadi nasihat saya apa yang dikatakan di luar sana berkenaan ‘khasiat’ ketum hanya retorik semata-mata, tidak betul sama sekali dan pengguna ketum perlu berhenti segera kerana kesannya hampir sama dengan (dadah) opiat lain,” katanya.

Penggunaan Ketum Meningkat

Menurut Ruslin, jumlah pengguna ketum yang dikesan menunjukkan peningkatan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Sebanyak 1,956 pengguna dikesan dalam tempoh berkenaan berbanding 1,579 pengguna bagi tempoh sama tahun lalu.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!