Ketua Sindiket Dadah Ditembak Mati, MDMA RM27.5 Juta Dirampas

Seorang lelaki yang dipercayai mengetuai sindiket pemprosesan dadah ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, pada Ahad.

Suspek berusia 52 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah dan turut dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penculikan.

Menurut laporan Sinar Harian, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kira-kira pukul 1.30 petang berdasarkan maklumat risikan mengenai kegiatan memproses dadah di rumah teres berkenaan.

Pengarah JSJN, Datuk Hussien Omar Khan berkata, suspek bertindak agresif dan melepaskan tembakan terlebih dahulu ke arah pasukan serbuan.

“Pada jam lebih kurang 1.30 petang semalam, berdasarkan maklumat risikan, JSJN Bukit Aman telah melaksanakan dan menyerbu lokasi di sebuah rumah teres di Taman Garden Homes, di sini yang disyaki menjalankan aktiviti memproses dadah.

“Semasa serbuan dibuat, suspek telah bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan dan bagi mempertahankan diri, tembakan terhadap suspek telah dilepaskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Isnin.

Suspek kemudian ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rumah Disewa Jadi Makmal Mini MDMA

Pemeriksaan lanjut mendapati rumah tersebut telah disewa sejak setahun lalu dan digunakan sebagai makmal mini untuk memproses dadah jenis MDMA.

“Suspek yang ditembak mati ini merupakan ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya kerana memiliki senjata api.

“Dia juga memiliki kepakaran dalam bidang kimia yang boleh memproses dadah jenis MDMA, malah terlibat dengan bahan terlarang itu sejak tahun 90-an serta pernah ditangkap tiga kali di bawah Seksyen 39B ADB,” katanya.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebanyak 182.39 kilogram dadah MDMA, pelbagai peralatan memproses dadah dan tiga buah kereta.

Polis turut menemukan sepucuk senjata api jenis revolver di lokasi kejadian.

“Sepucuk senjata api jenis revolver telah dijumpai di tempat kejadian telah dirampas,” katanya.

Dua Lagi Ahli Sindiket Ditahan

Susulan serbuan itu, polis menjalankan dua lagi serbuan di sebuah rumah di Seremban 2 dan sebuah residensi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan dua warga tempatan, termasuk seorang wanita, masing-masing berusia 32 dan 35 tahun.

Semakan mendapati suspek wanita mempunyai 12 rekod jenayah, manakala suspek lelaki pula memiliki 10 rekod jenayah.

“Mereka dipercayai merupakan ahli sindiket dan tiada sebarang hubungan kekeluargaan. Kedua-duanya direman tujuh hari bermula 7 September hingga 13 September ini.

“Kita percaya ada lagi beberapa lagi suspek dalam sindiket ini, malah ada yang dipercayai telah pun melarikan diri ke luar negara,” katanya.

Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Januari tahun ini. Modus operandinya adalah memilih kawasan perumahan berkepadatan rendah sebagai lokasi memproses dan mengedarkan dadah.

Semua prekursor atau bahan kimia yang ditemukan dipercayai dibawa masuk dari luar negara, manakala dadah yang dihasilkan pula adalah untuk pasaran antarabangsa.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dilanggarkan bernilai RM27.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!