Percutian tiga wanita rakyat Malaysia ke Indonesia bertukar menjadi urusan dengan pihak berkuasa selepas mereka ditahan bersama sejumlah dadah dalam pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta pada Isnin.
Menurut laporan Harian Metro, ketiga-tiga wanita berasal dari Sabah dan berusia 30 serta 39 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima maklumat daripada pihak berkuasa Indonesia.
“Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dadah.
“Mereka ke sana untuk bercuti. Dadah yang dirampas itu dipercayai lebih kepada untuk kegunaan sendiri dan jumlahnya kecil,” katanya.
Hussein berkata, ketiga-tiga wanita itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan sindiket yang melibatkan penahanan seorang lelaki Malaysia di Surabaya sebelum ini.
Disembunyikan dalam pelbagai barangan
CNN Indonesia sebelum itu melaporkan pegawai Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menggagalkan cubaan membawa masuk barangan terlarang yang didakwa dilakukan tiga penumpang wanita berkenaan.
Mereka dikesan selepas tiba dari Kota Kinabalu di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.
Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam beg peralatan mandian di dalam bagasi, dompet, bungkusan ubat, poket jaket dan kasut yang dipakai.
Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bahan termasuk 0.5 gram dan 0.3 gram bahan disyaki kokain serta dua gram serbuk yang turut disyaki kokain.
Pegawai juga merampas 4.2 gram pil disyaki MDMA, 1.8 gram serbuk disyaki ketamin, 2.4 gram pil disyaki MDMA dan 16.9 gram tembakau disyaki bercampur ketamin.
Selain itu, turut dirampas 1.4 gram bahan disyaki kokain dan satu unit kartrij yang disyaki mengandungi ketamin.
Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan telah menjalankan ujian sampel terhadap barangan yang diperiksa itu.
Sumber: Harian Metro
