Seorang anggota bomba tidak dapat menahan rasa ralat apabila rumah pusaka yang didiami bersama keluarga di Kampung Jambu Merah, Melor, Kota Bharu hangus terbakar dalam kejadian tengah hari Jumaat lalu.
Mangsa, Mohd Alifudin Ahmad, 37, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, berkata insiden itu benar-benar menguji emosi kerana selama ini dia membantu memadam kebakaran rumah orang lain, namun kali ini tidak mampu menyelamatkan kediaman sendiri.
“Selama ini kita bantu padam kebakaran rumah orang lain tapi apabila berlaku kepada diri sendiri dan gagal selamatkan rumah pusaka, memang rasa ralat,” katanya.
Pulang Dari Solat Jumaat, Api Sudah Marak
Menurut Mohd Alifudin, dia hanya mengetahui rumahnya terbakar apabila pulang dari masjid selepas solat Jumaat bersama dua anaknya yang berusia sembilan dan 12 tahun.
Katanya, dari jauh dia sudah melihat api sedang marak sebelum terus berlari ke rumah kerana bimbang keselamatan isteri dan dua anak kecil yang berada di dalam rumah ketika itu.
“Saya dapati ramai orang di lorong memasuki rumah dan dari jauh ternampak api sedang marak dari rumah dan terus berlari kerana fikiran teringatkan isteri serta dua anak yang masih kecil,” katanya.
Syukur, isteri dan anak-anaknya sempat menyelamatkan diri sebelum keadaan bertambah buruk.
Sempat Selamatkan Motosikal, Tapi Rumah Tak Dapat Diselamatkan
Dalam keadaan cemas, Mohd Alifudin memberanikan diri masuk ke bahagian garaj untuk menyelamatkan tiga motosikal.
Katanya, sebagai anggota bomba, dia tahu kawasan yang masih selamat untuk dimasuki walaupun api sedang marak.
Bagaimanapun, rumah tersebut tetap gagal diselamatkan dan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.
“Bagaimanapun, rumah kami gagal diselamatkan dan jika saya ada ketika kejadian, Insya-Allah kebakaran mampu dielakkan tapi sudah takdir, kami reda saja lah,” katanya.
Isteri Dengar Letupan Kecil Dari Ruang Tamu
Mohd Alifudin berkata, ketika kejadian isterinya, Nik Noor Fatihah Nik Man, 37, berada di dalam bilik bersama dua anak kecil berusia lima dan dua tahun.
Isterinya terdengar beberapa letupan kecil dari ruang tamu sebelum keluar dan melihat api mula marak pada kotak fius.
Dalam keadaan panik, isterinya segera mendukung dua anak kecil keluar menyelamatkan diri.
“Isteri sempat mengambil sejumlah wang milik ibu mentua untuk urusan jual beli tanah yang disimpan di dalam bilik manakala wang tabung empat anak bernilai RM3,000 hangus,” katanya.
Uniform Bomba Turut Hangus, Kini Menumpang Rumah Sepupu
Mohd Alifudin yang juga anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Kelantan berkata kebakaran itu turut memusnahkan lebih 10 uniform kerjanya termasuk pakaian rasmi, celoreng dan pakaian harian.
Katanya, semua pakaian keluarga mereka juga hangus dan dia kini masih diberi cuti kecemasan.
Buat sementara waktu, mereka menumpang di rumah sepupu yang terletak bersebelahan kediaman yang terbakar.
JBPM Pertimbang Kuarters, Bantuan Susulan Menyusul
Terdahulu, keluarga mangsa menerima kunjungan Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kelantan, Penolong Penguasa Bomba El Taraf Mohd Zachariah yang hadir menyerahkan sumbangan kebajikan.
El Taraf berkata, pihaknya akan mempertimbangkan penempatan kuarters bomba dan balai bomba terdekat iaitu di Ketereh untuk Mohd Alifudin.
Selain itu, bantuan lain juga akan menyusul termasuk permohonan di bawah Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB).
“Kami akan bantu membuat permohonan di bawah KWKB yang memperuntukkan sumbangan sehingga RM50,000 maksimum untuk anggota yang ditimpa bencana,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
