KUALA LUMPUR – Projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang dijangka mula dilaksanakan tahun depan dengan kos keseluruhan sebanyak RM264 juta, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026 dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC), dengan proses perolehan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengaktifkan semula laluan itu bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo, sekali gus memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia–Thailand melalui sambungan ke Sungai Golok, Thailand.

“Projek ini dijangka dimulakan tahun depan selepas proses perolehan selesai dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kerja naik taraf bermula.
“Skop projek ini meliputi kerja tanah dan landasan, pembinaan pagar, naik taraf Stesen Pasir Mas dan Rantau Panjang, serta penambahbaikan sistem semboyan dan komunikasi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Anthony Loke berkata, pelaksanaan projek itu sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara 2030 (DPN 2030) yang menggalakkan penggunaan rel sebagai mod pengangkutan yang efisien, selamat dan mampan.
“Apabila siap kelak, laluan ini dijangka memperkasa aktiviti ekonomi sempadan, memudahkan pergerakan barangan serta pelancong, dan menjadi komponen penting dalam usaha kerajaan memperkukuh keterhubungan rel serantau di Pantai Timur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan pembangunan pengangkutan awam dalam menyokong mobiliti rakyat serta pertumbuhan ekonomi di Wilayah Utara dan Pantai Timur.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) — perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo berkapasiti tinggi yang moden serta cekap untuk manfaat rakyat Pantai Timur.
Projek ECRL meliputi jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dengan 20 stesen di empat negeri iaitu Kelantan (dua stesen), Terengganu (enam), Pahang (tujuh) dan Selangor (lima) yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, dijangka siap serta mula beroperasi pada 2027.
Loke berkata, ECRL juga akan menjadi pemangkin ekonomi Wilayah Pantai Timur, membangunkan kluster industri dan perniagaan tempatan serta memastikan pertumbuhan lebih seimbang.
“Jumlah keseluruhan kargo yang bakal dibawa melalui ECRL dianggarkan sebanyak 24.6 juta tan, bersamaan satu juta perjalanan lori 20 tan,” katanya.
BACA: Laluan kereta api Pasir Mas ke Rantau Panjang dihidupkan semula
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
