Pembinaan tembok di Sungai Golok, satu-satunya cara kekang penyeludupan

KOTA BHARU – Pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas kini dianggap keperluan strategik bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan–Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional walaupun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan kamera litar tertutup (CCTV).

“Walaupun menggunakan teknologi tinggi, kawalan tetap sukar kerana keadaan sungai itu membolehkan orang menyeberang ke Thailand dalam tempoh sesaat sahaja.

Malah, langkah itu juga tidak mencukupi kerana kawalan menggunakan dron, CCTV dan sistem pengawasan automatik memerlukan tenaga manusia sepanjang masa.

Sebab itu, saya cadangkan kerajaan mempercepat pembinaan tembok atau pagar keselamatan di sepanjang zon penampan sungai,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa keadaan muka bumi sempadan di Kelantan lebih mencabar berbanding negeri lain seperti Perlis atau Kedah kerana jarak antara dua negara di sesetengah kawasan, terutamanya di Tanah Merah dan Jeli, hanya beberapa meter.

“Disebabkan sempit dan cetek, penyeludupan haiwan ternakan dan kontraban juga sangat mudah dilakukan di Sungai Golok.

Cadangan pembinaan tembok ini sudah lama dibincangkan dan saya berharap perkara ini dapat direalisasikan segera kerana langkah ini sahaja dilihat paling berkesan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, negara maju seperti Amerika Syarikat dan Mexico turut menggunakan pendekatan sama untuk mengawal sempadan mereka dengan lebih berkesan.

“Kalau betul-betul mahu kawal 100 peratus aktiviti rentas sempadan, pembinaan tembok keselamatan ialah satu-satunya jalan penyelesaian menyeluruh.

Pembinaan tembok atau pagar ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga soal kedaulatan negara serta pelaburan jangka panjang untuk masa depan,” katanya.

Selain memperkukuh kawalan sempadan, beliau berkata tembok keselamatan itu juga boleh berfungsi sebagai tebatan banjir, mengurangkan limpahan air sungai akibat hujan berterusan yang sering melanda kawasan sempadan.

Menurut beliau, daripada 163 kilometer sempadan Kelantan–Thailand, kira-kira 91 kilometer melibatkan kawasan air, dan pemasangan tembok atau pagar keselamatan boleh dilakukan mengikut kesesuaian lokasi.

“Semasa musim tengkujuh, paras air Sungai Golok akan melimpah sehingga garis sempadan negara tidak lagi kelihatan, menyebabkan penyeludup mengambil kesempatan menaiki bot untuk masuk ke Malaysia, malah boleh pergi lebih jauh hingga Pasir Mas dan Meranti.

Sebab itu penyeludup ke Kelantan ketika dilanda banjir kerana mereka bebas keluar masuk, begitu juga musim kemarau kerana paras air di Sungai Golok akan kering, memudahkan mereka berjalan kaki ke sempadan dengan lebih cepat,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, anggota keselamatan berdepan cabaran besar ketika musim tengkujuh kerana pos kawalan berhampiran sempadan sering ditenggelami air, malah anggota juga perlu membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Pembinaan tembok itu akan membantu polis dan agensi keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan rondaan dengan lebih selamat, terutama ketika banjir apabila operasi menggunakan bot menjadi terhad,” katanya.



Pada November tahun lepas, Bernama melaporkan bahawa Thailand menyambut baik cadangan Kelantan untuk mengusulkan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang sempadan Sungai Golok–Rantau Panjang.

Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham, turut berkata langkah itu penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Polis Nafi Tak Ambil Tindakan Kes Lelaki Dipukul Ramai-Ramai Di Wakaf Bharu
|
Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak polis tidak…
Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
Jawatan Kosong Kelantan