[VIDEO] KRW FC Raih Kemenangan Pertama Liga Super, Bangkit Benam Sabah FC 2-1

Enam perlawanan menanti kemenangan, akhirnya penyokong Kelantan Red Warrior (KRW) FC boleh menarik nafas lega.

Bermain di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, KRW berjaya bangkit menewaskan Sabah FC 2-1 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Namun, kemenangan itu bukan datang dengan mudah.

Sabah terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Jose Alonso menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada minit ke-31.

KRW yang dilihat lebih menguasai permainan dengan sembilan percubaan tetap gagal mencari gol penyamaan sebelum tamat babak pertama.

Masuk separuh masa kedua, segalanya berubah.

Pemain gantian, Muhammad Rizuan Muda muncul pencetus kebangkitan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-72.

Stadium Sultan Muhammad IV kembali bergema apabila Emmanuel Mbarga menyudahkan peluang pada minit ke-84 untuk meletakkan KRW di hadapan 2-1.

Ketika penyokong sudah mula membayangkan tiga mata pertama, satu lagi drama berlaku pada masa tambahan.

Sabah hampir mendapat sepakan penalti selepas berlaku kekasaran pemain KRW terhadap pemain pelawat.

Namun, semakan VAR membatalkan keputusan memberikan penalti itu.

Keputusan tersebut pastinya melegakan penyokong tuan rumah yang menyaksikan perlawanan penuh debaran itu.

Akhirnya, wisel penamat berbunyi dengan keputusan 2-1 memihak kepada KRW.

Selepas enam kekalahan dalam enam perlawanan liga sebelum ini, kemenangan ini menjadi detik yang cukup bermakna buat KRW FC dan penyokong setianya.


TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!