KAFA Bakal Masuki Era Baharu, Datuk Rosmadi Dipilih Sebagai Presiden

Datuk Seri Rosmadi Ismail bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dalam proses pemilihan kepimpinan baharu persatuan itu.

Rosmadi yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diumumkan sebagai pemenang selepas tiada calon lain mengemukakan pencalonan bagi jawatan berkenaan sebelum pencalonan ditutup pada 5 November lalu.

Turut menang tanpa bertanding ialah bekas pengurus ketika era kegemilangan The Red Warriors (TRW) meraih treble pada 2012, Azman Ibrahim yang dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Tiga lagi jawatan Naib Presiden pula dimenangi Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin dan Mohd Shukry Fauzi.

Bagaimanapun, pelantikan lima calon bagi jawatan utama itu akan disahkan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KAFA pada 26 November ini.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, sebanyak 10 jawatan ahli jawatankuasa (AJK) persatuan akan turut ditentukan dalam mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan EGM itu bakal menandakan berakhirnya kemelut penggantungan KAFA yang berlarutan hampir dua tahun.

"Ucapan tahniah dan selamat maju jaya buat kelima calon yang berjaya, kami berharap kepimpinan baru diketuai Datuk Seri Rosmadi yang juga Naib Presiden 1 FAM, dapat diselarikan dengan era kepimpinan FAM sekarang.

"KAFA akan masuk ke era baru dengan tiada lagi bebanan untuk membentuk pasukan utama ke Liga Malaysia dan juga bebanan hutang lapuk yang sentiasa mencengkam pengurusan sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Husin berkata, kepimpinan baharu itu juga diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan bola sepak dalam kalangan ahli gabungan, termasuk kelab dan persatuan daerah.

Katanya, perlembagaan KAFA perlu dipinda supaya selari dengan fungsi FAM dalam era baharu, selain membuka ruang penyertaan lebih luas kepada ahli gabungan daripada kelab dan persatuan bola sepak daerah.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!