Penduduk di sembilan jajahan di Kelantan diminta berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku sehingga 12 tengah hari, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan memaklumkan amaran itu melibatkan Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Selain Kelantan, amaran sama turut melibatkan seluruh negeri Terengganu serta beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin.
Menurut MetMalaysia, amaran berkenaan dikeluarkan pada jam 8.45 pagi, 22 November 2026.
Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.
