Usaha pemuda menceriakan sebuah hentian bas di Kota Bharu dengan membersihkan dan mengecat semula kemudahan itu tidak bertahan lama apabila struktur berkenaan dilaporkan sudah dirobohkan sepenuhnya.
Perkara itu dikongsikan Hiyaz Community menerusi laman media sosial mereka, sekali gus meluahkan rasa kecewa apabila hentian bas yang baru sahaja dibersihkan dan dicat semula itu tidak lagi dapat digunakan.
Menurut muat naik tersebut, kerja pembersihan dan mengecat dilakukan bagi menyediakan tempat berteduh yang lebih selesa kepada pengguna bas serta penghantar makanan terutam ketika musim tengkujuh.
"Hentian Bas ini dibersih dan dicat baru bagi menyambut musim tengkujuh, agar pengguna bas atau rider penghantar makanan lebih ceria untuk berteduh waktu hujan lebat ni."
Persoal tindakan merobohkan hentian bas
Hiyaz Community turut mempersoalkan tindakan merobohkan kemudahan berkenaan ketika musim hujan, terutama selepas mereka meluangkan masa dan tenaga untuk menceriakannya secara sukarela.
"Kita bersih dan cat supaya masyarakat lebih berceria sewaktu berteduh menungg bas"
"Kenapa perlu dirobohkan musim tengkujuh"
Hentian bas berkenaan dipercayai terletak di Jalan Hamzah, Kota Bharu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab merobohkan hentian bas itu atau sebab tindakan berkenaan dilakukan.
