Pertandingan Menangis Dikecam, Ini Respon Mufti Kelantan

Penganjur pertandingan menangis (jerik) yang berlangsung sempena ekspo di RTC Tunjung tampil mempertahankan penganjuran acara itu selepas menerima kecaman netizen yang menganggapnya memalukan serta tidak sesuai dengan imej Kelantan.

Usahawan, Wan Mohamad Rahimie Syazrin Ab Rahim, 32, berkata pertandingan tersebut dianjurkan bagi tujuan berkongsi rezeki dan peserta yang menyertai pula masuk secara sukarela tanpa paksaan.

“Kami hanya mahu berkongsi rezeki dan mereka (peserta) masuk pun secara sukarela tanpa paksaan,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya menjadi penaja utama ekspo tersebut dan pertandingan jerik merupakan salah satu acara dalam ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu.

Menurutnya, pertandingan itu menerima penyertaan seramai 60 peserta berusia 30 hingga 70 tahun, selain turut dianjurkan kategori kanak-kanak.

Hadiah Makin Besar Bila Ramai Penaja Teruja

Wan Mohamad Rahimie berkata pada awalnya pihak penaja utama hanya menyediakan wang tunai sekitar RM100 hingga RM500, namun selepas mendapat sambutan luar biasa, beberapa founder lain turut teruja untuk menyumbang hadiah.

Katanya, antara yang tampil memberi hadiah termasuk pemilik kedai emas, kosmetik dan makanan, menyebabkan jumlah hadiah meningkat.

“Hasilnya kami terima hadiah tambahan seperti cincin emas bernilai ribuan ringgit dan banyak lagi sehingga nilai hadiah jadi besar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pasir Tumbuh.

Sebelum ini, beberapa video pertandingan menangis di Kelantan tular di media sosial dan mengundang kecaman ramai yang menyifatkan pertandingan itu memalukan, selain tidak sesuai dengan imej Kelantan yang dikenali sebagai Negeri Serambi Makkah.

Wan Mohamad Rahimie menjelaskan ini bukan kali pertama pertandingan menangis dianjurkan, sebaliknya sudah kali ketiga dijalankan sebagai acara unik bagi menarik orang ramai hadir ke ekspo.

Beliau turut menyifatkan pertandingan itu lebih selamat dan mudah disertai terutama golongan warga emas dan kanak-kanak.

Mufti Kelantan: Jika Tiada Unsur Negatif, Islam Tidak Halang

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sebarang pertandingan tidak dihalang dalam Islam selagi tidak membawa mudarat atau bahaya kepada peserta.

Beliau menjelaskan penilaian perlu dibuat berdasarkan objektif penganjuran serta sama ada wujud unsur negatif.

“Kalau tiada unsur negatif, Islam tak halang,” katanya.

Mufti turut menyentuh isu hadiah pertandingan dan menegaskan jika hadiah disediakan oleh pihak lain tanpa bayaran penyertaan, maka ia tidak menjadi masalah.

Namun, jika sesuatu pertandingan memerlukan bayaran masuk dan duit itu pula dijadikan hadiah, perkara itu boleh menimbulkan isu.

Beliau berkata perbuatan menangis sebenarnya digalakkan dalam Islam, namun ia seharusnya kerana takutkan Allah SWT serta menangisi dosa yang dilakukan.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Kereta Bawa 200,000 Batang Rokok Seludup Terbabas Dalam Tali Air Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan…
12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Thailand Bina Pagar Kawat Berduri 99KM Di Sempadan Kelantan-Narathiwat
|
Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!