Pemilik rumah yang menjadi mangsa kes rompakan peti besi bernilai hampir RM3 juta di Taman Hillview, Hulu Klang tahun lalu tampil berkongsi rasa kecewa terhadap perkembangan siasatan kes berkenaan menerusi satu video di media sosial.
BERKAITAN: Rumah Di Hulu Klang Dirompak Ketika Pulang Ke Kampung Di Kelantan, Peti Besi RM3 Juta Lesap
Menurut lelaki itu, dia sebenarnya tidak berniat untuk menularkan perkara tersebut, namun mendakwa mula berasa ada sesuatu yang tidak kena selepas berurusan dengan pihak berkuasa sejak hari pertama kejadian dilaporkan.
Dalam perkongsian tersebut, dia mendakwa pernah memaklumkan kepada pihak polis mengenai kesan cap jari yang ditemui di tangga rumahnya, namun terkejut dengan jawapan diterima.
“Encik ada cap jari dekat tangga tu. Kau tahu dia jawab apa? ‘Awak polis ke saya polis? Tolong jangan kacau kerja polis,’” katanya.
Dakwa Kecewa Dengan Perkembangan Siasatan
Mangsa turut mendakwa dia telah menyerahkan rakaman CCTV rumah kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Namun, dia mendakwa kecewa apabila dimaklumkan suspek dipercayai merupakan individu berbangsa Cina sedangkan menurutnya, berdasarkan rakaman tersebut, suspek jelas bertutur dalam Bahasa Melayu.
Selain itu, dia juga mendakwa pihak polis memaklumkan rakaman CCTV yang diperoleh tidak begitu jelas dan sukar membantu siasatan.
Menurutnya, selepas dia dan pembantu rumah selesai memberikan keterangan, tiada perkembangan lanjut diterima sehingga kini.
“WhatsApp, call tak angkat-angkat,” dakwanya lagi dalam video tersebut.
Polis Masih Jejak Suspek
Sebelum ini pada awal Februari, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan siasatan kes tersebut masih dijalankan termasuk meneliti semua rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek terlibat.
Dalam kejadian pada 23 Disember tahun lalu itu, seorang usahawan dilaporkan kerugian hampir RM3 juta selepas tiga lelaki dipercayai memecah masuk rumahnya dan melarikan peti besi seberat hampir 100 kilogram yang mengandungi emas serta wang tunai.
Kejadian berlaku ketika mangsa sekeluarga pulang ke kampung di Kelantan, dan rompakan disedari 3 hari kemudian.
BERKAITAN: Rumah Di Hulu Klang Dirompak Ketika Pulang Ke Kampung Di Kelantan, Peti Besi RM3 Juta Lesap
Polis sebelum ini turut menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan, namun kesemua mereka didapati tidak terlibat dalam kes berkenaan.
SHARE:
