Selepas Tular, Penganjur Tampil Bersuara
Kontroversi program bertemakan retro hippie di Kota Bharu akhirnya mendapat penjelasan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai penganjur.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Fykaaschaa memohon maaf kepada orang ramai dan mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran majlis berkenaan.
"Ia Bukan Disko"
Menurutnya, penggunaan perkataan "Disco Retro" pada poster hanyalah sebagai tema pakaian dan bukan menggambarkan bentuk hiburan yang dianjurkan.
"Saya akur dengan undang-undang kerajaan negeri dan pusat. Apa yang berlaku tidaklah seperti yang diviralkan.
"Majlis itu merupakan acara persendirian berskala kecil melibatkan keluarga, rakan-rakan rapat dan sambutan hari lahir. Kebanyakan yang hadir terdiri daripada suami isteri, keluarga serta kanak-kanak."
Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pesta mabuk, aktiviti tidak bermoral atau penyalahgunaan bahan terlarang.
Katanya, bayaran yang dikutip hanya digunakan bagi menampung kos sewaan dewan, makanan dan aktiviti sepanjang majlis berlangsung.
Video Pendek Cetus Salah Faham
Fykaaschaa berkata, video yang tular hanya memaparkan peserta sedang menari dan bukan keseluruhan perjalanan majlis.
"Bagi kami, ia sekadar aktiviti biasa yang berlaku dalam sesuatu majlis. Niat kami hanya mahu berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan untuk melepaskan tekanan, bukannya menubuhkan kelab disko."
Beliau juga menjelaskan bahawa JL Fara bukan penganjur, sebaliknya hanya menyewakan dewan kepada mereka.
"Dengan ini saya bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin. Pihak MPKB juga telah datang berjumpa kami, jadi saya berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan," katanya.
Siasatan Masih Berjalan
Sebelum ini, MPKB-BRI memaklumkan penganjur dipercayai tidak mendapatkan permit hiburan serta lesen penjualan tiket yang sah.
Jika disabitkan kesalahan, penganjur boleh dikenakan hukuman mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 kerana menganjurkan hiburan tanpa permit, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
BERKAITAN: Program Disko Retro Di Kota Bharu Disiasat, Pemilik Restoran Dakwa Tidak Tahu
Selain itu, penganjur turut disyaki melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, pemilik premis turut berdepan tindakan kerana didakwa melanggar syarat lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Sumber: Sinar Harian
