Lampu Hijau HPUSM Dinyalakan, Penghormatan Terakhir Buat Aidil

Suasana pilu menyelubungi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian apabila kakitangan hospital mengiringi jenazah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, menerusi upacara penghormatan terakhir dikenali sebagai 'Honor Walk', awal pagi tadi.

Penghormatan itu diberikan sebelum proses pembedahan pendermaan organ Allahyarham dijalankan.

Terdahulu, lampu hijau turut dinyalakan di bangunan hospital sebagai simbolik bahawa proses pembedahan berkenaan sedang berlangsung.

Selain kakitangan hospital, orang ramai dan kenalan Allahyarham turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

914399887_30168442342741211_6745908660200737541_n


Difahamkan, pembedahan bermula kira-kira jam 10.45 malam sebelum selesai sekitar jam 1 pagi.

Keluarga Setuju Derma Organ Aidil

Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham, Siti Hawa menerusi Facebook memaklumkan mereka sekeluarga sudah memberikan persetujuan kepada pihak hospital untuk melakukan pendermaan beberapa organ milik adiknya.

Beliau turut menjelaskan terdapat salah faham antara keluarga dan pihak doktor sebelum ini berhubung keadaan kesihatan Aidil.

"Assalamualaikum semua, di sini saya sebagai ahli keluarga Muhammad Aidil ingin membuat klarifikasi, terdapat salah faham di antara pihak keluarga dan doktor pada hari kejadian.


"Jadi hari ini (semalam) doktor sudah menjelaskan ada dua jenis kematian, kematian jantung dan kematian otak. Aidil mengalami kematian otak walaupun organ beliau yang lain berfungsi dengan baik.

"Organ beliau yang lain bergantung hidup pada mesin, jika mesin itu diputuskan, Aidil tidak mampu bernafas sendiri. Jadi dalam erti biologi, Aidil memang sudah tidak ada dan kes aidil ini adalah satu dalam 10,000," katanya.

Menurutnya, keluarga menganggap Allahyarham sebagai insan terpilih dan bersetuju membenarkan beberapa organ adiknya didermakan supaya menjadi amal jariah berterusan.

"Insya-Allah selepas pembedahan terakhir, Aidil akan disemadikan esok (hari ini) jika tiada aral melintang. Kami sekeluarga berharap semua dapat menitipkan doa untuk Aidil," katanya.

Aidil Meninggal Dunia Selepas Kemalangan

Terdahulu, Allahyarham yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu dimasukkan ke HPUSM selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, beliau kemudian disahkan meninggal dunia.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga dan kenalan, malah keputusan keluarga untuk membenarkan pendermaan organ turut memberi peluang kepada pesakit lain menerima manfaat daripada organ yang didermakan.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!