Seorang murid perempuan Tahun Empat meninggal dunia sehari selepas terbabit dalam kemalangan apabila digilis sebuah lori ketika membonceng motosikal bersama datuknya di Kubang Kerian, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang Ahad, Putri Nur Aishah Abdullah, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chica bersama datuknya, Bakri Daud, 61.
Menurut laporan Sinar Harian, ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, berkata kejadian berlaku ketika mereka tiba berhampiran sebuah persimpangan lampu isyarat.
Menurutnya, motosikal yang dinaiki anak sulung daripada tiga beradik itu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama sebelum kedua-duanya terjatuh.
“Ayah saya yang menunggang motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan hanya mengalami luka ringan tapi anak saya jatuh ke sebelah kanan serta digilis lori di bahagian perut.
“Pemandu itu menghentikan lorinya selepas menyedari kejadian dan terkejut melihat anak saya sudah berada di bawah lori serta mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Jalani Pembedahan Kecemasan
Putri Nur Aishah kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian dan ditempatkan di Zon Merah dalam keadaan kritikal.
Nadja Aida Natasha berkata, doktor menjalankan pembedahan kecemasan bagi memasang besi di bahagian pinggul mangsa untuk membantu menghentikan pendarahan sebelum anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Doktor buat pembedahan kecemasan untuk pasang besi di bahagian pinggul Putri Nur Aishah bagi membantu menghentikan pendarahan sebelum dia dimasukkan di Unit Rawatan Rapi.
“Beberapa jam selepas menjalani pembedahan, keadaan anak tetap lemah kerana kehilangan banyak darah,” katanya.
Menurutnya, pendarahan tersebut berterusan sebelum doktor bercadang menjalankan pembedahan kali kedua bagi mengenal pasti punca pendarahan.
Jantung Terhenti 15 Minit
Bagaimanapun, ketika perbincangan bersama doktor, jantung Putri Nur Aishah tiba-tiba terhenti.
“Semasa perbincangan bersama doktor, jantung anak saya tiba-tiba terhenti dan diberi bantuan CPR sebelum nadinya kembali selepas 15 minit.
“Keadaan dia bagaimanapun makin lemah sebelum akhirnya meninggal dunia,” katanya.
Putri Nur Aishah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Isnin akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk.
Jenazahnya kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha pada jam 9.30 malam hari yang sama.
Sumber: Sinar Harian
