Lelaki Pandu Kereta Klon Ditahan Positif Dadah Di Jeli, Ada 13 Rekod Jenayah

Seorang lelaki berusia 27 tahun yang positif dadah ditahan selepas dikesan memandu kereta disyaki klon di Kampung Bukit Lakota, Jeli, semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Kamarulzaman Harun berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Pemeriksaan mendapati nombor casis dan enjin kereta Honda Integra berkenaan tidak mempunyai rekod pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain nombor pendaftarannya disyaki palsu.

“Kenderaan itu dirampas sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Jeli untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine. Dia juga mempunyai 13 rekod berkaitan jenayah dan narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki dipercayai terima upah bawa warga Uzbekistan

Dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menerima bayaran untuk membawa seorang lelaki warga Uzbekistan dari Ipoh, Perak ke Kota Bharu.

Kamarulzaman berkata, kedua-dua individu itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas kereta Nissan Almera dinaiki mereka diperiksa anggota Balai Polis Batu Melintang, Jeli, ketika rondaan cegah jenayah.

“Penumpang warga Uzbekistan itu memiliki Pas Khas yang telah tamat tempoh, manakala pemandu mengakui beberapa kali membawa warga asing dari Ipoh ke Kelantan dengan menerima bayaran,” katanya.

Menurutnya, lelaki warga Uzbekistan yang bekerja sebagai buruh binaan itu telah menetap di Malaysia kira-kira tiga tahun.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!