Seorang lelaki maut manakala tiga wanita cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Belahat, Jeli, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.17 malam, mangsa lelaki dilaporkan tersepit di dalam sebuah Perodua Kancil dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kejadian itu membabitkan sebuah Toyota Veloz dan Perodua Kancil di Jalan Kampung Belahat.
Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 10.17 malam bagi memaklumkan kejadian kemalangan jalan raya itu.
Komander Operasi, PBK II KUP Samri bin Ramli berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan empat mangsa.
Tiga mangsa wanita dilaporkan cedera, manakala seorang lelaki tersepit di dalam Perodua Kancil dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM Jeli.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut melibatkan anggota BBP Jeli dengan bantuan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jeli.
