Dua Maut Kereta Bertembung Lori Ayam Di JRTB Gerik-Jeli

Dua individu maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan ayam di Kilometer 49 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu mengorbankan pemandu kereta, Normalizah Abd Manap, 36, dan penumpangnya, Razali Shakri, 45.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, seorang lagi penumpang kereta berkenaan, wanita berusia 41 tahun mengalami kecederaan patah tulang rusuk.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Gerik.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh ke kiri sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

"Pelanggaran melibatkan bahagian hadapan sebelah kanan kereta dengan bahagian kanan lori," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pemandu lori berusia 45 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.52 malam.

"Jentera tiba di lokasi pada jam 1.55 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer.

"Ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas," katanya.

Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!