Kanak-Kanak 8 Tahun Lemas Di Kolam Rekreasi Gua Musang

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sebuah kolam rekreasi di Gua Musang, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan dipercayai berada di lokasi rekreasi itu untuk beriadah bersama bapanya sebelum kejadian berlaku.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan dan punca sebenar kejadian,” ujarnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, Sik Choon Foo menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi anak-anak, terutama ketika berada di kawasan berisiko seperti kolam renang, sungai dan lokasi rekreasi air.

“Pihak polis tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga semua fakta dan hasil siasatan diperoleh.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!