Seorang Daripada Dua Remaja Lemas Di Kuala Krai Ditemukan

Mayat seorang daripada dua remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai ditemukan pagi Rabu.

Menurut laporan Bernama, mangsa dikenali sebagai Luth Naiman Mohd Noraziron.

Mayatnya ditemukan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan pada jam 9.10 pagi.

Mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

JBPM Kelantan dalam kenyataan memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa, Mohd Rayan Hakimi, masih diteruskan.

Operasi pada Rabu melibatkan seramai 56 anggota terdiri daripada pihak bomba, polis, Pasukan Bomba Sukarela dan penduduk setempat.

Sebanyak sembilan bot digunakan dalam operasi berkenaan termasuk enam bot milik penduduk. Pasukan penyelamat turut menjalankan pencarian di permukaan sungai.

Dalam kejadian pada petang Selasa, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang berhubung dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan.

Sumber: Bernama


TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!