Penternak ikan keli meninggal dunia rebah dalam sangkar ikan

Seorang penternak ikan keli meninggal dunia selepas lebih sejam bertarung nyawa akibat serangan jantung sebelum terjatuh ke dalam sangkar ikan di tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kampung Padang Lati, Pasir Mas pada Sabtu.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Mohd Suffian Mohamed, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lati pada jam 7.15 malam.

Isterinya, Ruzaini Muhammad, 57, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.20 petang oleh rakan suaminya yang berada di lokasi untuk memberi makan ikan.

“Ketika rakannya sedar, suami saya sudah terjatuh ke dalam air. Mereka bantu angkat ke atas sangkar sebelum menghubungi ambulans.

“Dalam ambulans, suami masih bernyawa. Saya sempat menunaikan solat Maghrib, namun tidak lama selepas itu pihak hospital memaklumkan dia telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kepas Apam, pada Ahad.

Menurut Ruzaini, arwah keluar dari rumah selepas waktu Asar menaiki motosikal menuju ke sangkar ikan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman mereka, seperti rutin hariannya.

“Saya dimaklumkan dia dipercayai rebah akibat serangan jantung sebelum terjatuh ke dalam sangkar ikan tersebut.

“Arwah pernah mengalami serangan jantung sebelum ini ketika mengharungi banjir pada tahun 2014. Dia juga menghidap penyakit batu karang dan kebelakangan ini sering tidak cukup tidur,” katanya.

Allahyarham mengusahakan penternakan ikan keli secara kecil-kecilan sejak tiga tahun lalu selain bekerja membantu penternak lain.

Lebih menyentuh perasaan, arwah sebenarnya merancang untuk berangkat ke Kuantan bersama isteri dan anak lelaki bongsu mereka bagi menziarahi cucu sulung berusia tiga bulan.

“Kereta sewa sudah ditempah sejak bulan lalu. Sepatutnya hari ini kami pergi menziarahi cucu pertama.

“Sejak dua minggu lalu, dia kerap menatap gambar cucu di telefon. Hari ini, cucu pula ‘datang’ menziarahi arwah,” katanya sebak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lebai Akil pada jam 11 pagi, Ahad. Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.



Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penguasa Bomba Kanan II Azrul Yusri Che Yaacob berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.27 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Lebuh Raya KBKK Capai 71.4 Peratus Siap, Dijangka Beroperasi Sepenuhnya 2027
|
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini…
Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran
|
Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis…
Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang…
Thailand Rampas 750 Liter Petrol Malaysia Disyaki Baru Diseludup Di Sungai Golok
|
Pihak berkuasa Thailand terus memperketat kawalan di sempadan apabila…
MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000
|
Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan…
Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita
|
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!