Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru dan kini sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Perkembangan mengenai keadaan kesihatannya itu dikongsikan aktivis dan pelakon, Lando Zawawi menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Lando, dia mendapat keizinan daripada ibu Amir, Puan Nizan, untuk meminta orang ramai, khususnya saudara-mara dan kenalan yang mengenali pelawak itu supaya sama-sama mendoakan kesihatannya.
Menerusi perkongsian tersebut, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah bin Azmi dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru, selain mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.
"Saya baru saja mendapat keizinan dari ibu Amir (Puan Nizan) untuk memohon sanak saudara dan rakan rakan yg mengenali saudara kita Mohammad Amirullah bin Azmi Untuk sama sama mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali sihat.
"Kini beliau sedang menunggu giliran di ICU untuk proses seterusnya. Maap x snggup cakap
"Tapi basically beliau kena jangkitan paru paru. Asthma memang dari kecik
"Semoga Allah masih beri peluang kita bersamanya
"Dan sekadar peringatan buat pihak yg masih berhutang pada dia.
"Elokla selesaikan atau mohon maaf pada dia
"Amin," tulisnya.
Lando turut berharap orang ramai dapat menitipkan doa agar Amir diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan individu yang masih mempunyai hutang dengan Amir supaya menyelesaikan tanggungjawab berkenaan atau memohon maaf kepadanya.
