Mengapa lagu dialek Kelantan semakin menjadi kegilaan pendengar di seluruh negara? Bagi komposer terkenal Ajai, jawapannya bukan kerana loghat yang digunakan, tetapi kerana lagu itu sendiri sedap didengar.
Menurut beliau, ramai yang menganggap dialek Kelantan menjadi faktor utama sesuatu lagu menjadi viral. Namun pada hakikatnya, kekuatan sebenar terletak pada melodi, susunan muzik, lirik dan cara lagu itu dipersembahkan kepada pendengar.
Dialek Hanya Pelengkap
"Dia sebenarnya tak kira lorat apa-apa pun. Ucup pangkal lagu tu kekuatannya pada keseluruhan melodi, arrangement."
Ajai berkata beliau gembira melihat semakin ramai pendengar dari luar Kelantan sanggup mendengar dan cuba memahami dialek negeri itu.
"Cuma yang lebih seronok apabila ramai pendengar yang cuba mendengar, belajar bahasa Kelantan."
Beliau menjelaskan kebanyakan lagu rakyat menggunakan tema santai seperti usik-mengusik antara lelaki dan perempuan, menjadikan ia ringan, menghiburkan dan mudah dinikmati tanpa perlu berfikir terlalu mendalam.
"Sebab kebanyakan lagu rakyat ni kalau kita tengok, topik dia mesti usik-mengusik."
Menurutnya, fenomena itu pernah berlaku kepada lagu rakyat dari Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala kini giliran lagu dialek Kelantan pula mendapat perhatian.
Lagu Hit Perlukan 'Package' Lengkap
Bagi Ajai, sesebuah lagu hanya mampu menembusi pasaran jika mempunyai gabungan melodi yang kuat, penyanyi yang sesuai, susunan muzik yang menarik serta lirik yang baik.
"Dia melodi lah... keseluruhan lagu tu ada package. Penyanyi yang bagus, arrangement yang bagus, muzik yang bagus, lirik yang bagus. Jadi persembahan tu diterima masyarakat."
Beliau turut menegaskan bahawa lagu yang tidak sedap didengar tidak akan menjadi hit walaupun menggunakan dialek yang unik.
"Kalau lagu tu heavy pun, lagu tu tak sedap pun, takkan juga tu boleh jadikan hit song."
Katanya lagi, penerimaan masyarakat dan promosi dari mulut ke mulut menjadi penentu sama ada sesebuah lagu mampu bertahan lama atau sebaliknya.
Vokal Bukan Sekadar Nada Tinggi
Mengulas mengenai lagu rakyat dalam pertandingan nyanyian, Ajai berpandangan pertandingan lebih memberi penekanan kepada kemahiran vokal, namun itu tidak bermaksud penyanyi perlu sentiasa menyanyi pada nada tinggi.
"Tak semestinya kekuatan vokal tu juga terletak pada high pitch."
Beliau memberikan contoh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kekal menjadi legenda walaupun tidak terkenal dengan nyanyian bernada tinggi, membuktikan tona suara yang sedap didengar juga memainkan peranan besar.
Sumber: MStar Online
