Kekangan Kewangan, Jen Endoro Terpaksa Tangguh Rawatan Sejak Beberapa Bulan

Tukang karut dan penyanyi dikir barat tersohor Kelantan, Jen Endoro terpaksa menangguhkan rawatan susulan bagi penyakit strok dan kencing manis kronik sejak beberapa bulan lalu akibat kekangan kewangan.

Jen Endoro atau nama sebenarnya, Mohd. Zain Ismail, 66, kini terlantar di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu sejak empat tahun lalu.

Menurut laporan Kosmo!, beliau perlu mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian setiap bulan.

Bagaimanapun, keluarganya tidak mampu membayar caj ambulans sebanyak RM250 bagi perjalanan pergi dan balik dari rumah ke hospital.

Keadaan itu menyebabkan rawatannya terpaksa ditangguhkan sejak beberapa bulan lalu.

Perlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan

Anak perempuannya, Nur Farahin, 33, berkata, dia merupakan suri rumah sepenuh masa dan bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Saya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan mengharapkan pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan. Kami sekeluarga hanya mampu menyediakan makan, minum dan lampin pakai buang untuk bapa.

“Selain itu, saya dan adik-beradik lain kumpul duit RM120 untuk beli lampin pakai buang dan susunya berharga RM120 setin yang hanya boleh bertahan selama dua hari,” katanya.

Menurut Nur Farahin, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk menampung segala perbelanjaan bapanya.

Tidak lagi mampu makan nasi

Keadaan kesihatan Jen Endoro dilaporkan semakin merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau yang sebelum ini masih mampu makan nasi kini mudah tersedak dan perlu bergantung kepada susu khas.

“Sebelum ini, bapa masih boleh makan nasi seperti biasa. Sejak beberapa bulan ini, bapa akan tersedak jika makan nasi dan keadaan itu menyebabkan dia perlu minum susu khas. Kesihatan bapa makin merosot sejak kematian ibu, Rohani Ramli pada Mei lalu apabila dia tidak boleh dibiarkan tinggal seorang diri dalam tempoh lama,” katanya.

Terdahulu, Jen Endoro menerima sumbangan wang tunai daripada Warga All Star Pendikir Kelantan.

Sumbangan itu disampaikan oleh kumpulan berkenaan yang diketuai Wan Nukman Wan Hamdan bersama kira-kira 20 pendikir Kelantan.

Aktif dalam dikir barat sejak 1970-an

Jen Endoro mula berkecimpung sebagai penyanyi dikir barat sejak era 1970-an.

Beliau dikenali menerusi beberapa lagu popular termasuk Masliza, Anak Siapa Hok Lalu Tadi dan Jangan Ceroboh Hutan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Mohd. Zain:

Nombor akaun: 03018022003970

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Mohammad Faris di talian 014-506 6445.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!