Perkembangan terbaharu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin pada Selasa selepas membatalkan perintah pelepasan terdahulu bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu.
BERKAITAN: Anthony Loke Letak Jawatan Menteri Pengangkutan
Menerusi keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
"Selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028," kata hakim.
Sebelum ini, Najib sudah membayar denda RM50 juta pada 6 November lalu, namun kembali ke Penjara Kajang selepas pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara menunggu penjelasan mahkamah.
Untuk rekod, tahanan rumah ini hanya melibatkan kes SRC International.
Najib dijadual kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman penjara berkaitan kes berasingan 1MDB.
Sumber: Sinar Harian
