Lebih 1,000 Van Sekolah Tanpa Permit Di Kelantan, Angkut Hingga 15 Murid

Lebih 1,000 pengusaha van sekolah di Kelantan dikesan beroperasi tanpa permit dengan memperoleh pendapatan hampir RM10,000 sebulan hasil perkhidmatan membawa murid dan pelajar ke sekolah.

Lebih membimbangkan, sebahagian van yang digunakan berusia lebih 20 tahun dan membawa sehingga 15 murid dalam keadaan berhimpit.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pengusaha berkenaan dipercayai menjalankan sekurang-kurangnya empat perjalanan sehari bagi mendapatkan pendapatan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan mereka menggunakan van jenis M yang daif tanpa kemudahan penghawa dingin, namun masih meneruskan operasi demi meraih keuntungan.

Kegiatan itu berjaya dikesan hasil risikan selama tiga bulan sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) pada Khamis lalu.

"Kita berjaya mengesan dan menyita hasil risikan dan Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan (KPPA) yang kita dilakukan pihaknya pada Khamis lalu.

"Pengusaha van berkenaan menggunakan taktik licik apabila tiada lambang van sekolah dipasang pada van berkenaan bagi mengaburi dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, apabila ditahan, ada antara pengusaha terbabit memberikan alasan bahawa mereka hanya membawa ahli keluarga yang bersekolah.

Katanya, risikan terhadap kegiatan itu dilakukan sejak tiga bulan lalu, termasuk pada awal pagi bagi mengenal pasti operasi sebenar van berkenaan.

Menerusi Ops KPPA, sebanyak 20 notis saman dikeluarkan, manakala sembilan van persendirian yang dijadikan van sekolah turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, terdapat van yang disita tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Kesemua kenderaan berkenaan melibatkan operasi di daerah Kota Bharu, dengan terdapat pemilik yang mempunyai sehingga dua buah van.

Pemilik van terbabit berusia antara 30 hingga 60 tahun.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!