Seramai 34 pemilik kenderaan di Kelantan dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk menyewakan kenderaan kepada warga Rohingya yang tidak mempunyai lesen memandu sah.
Kes yang direkodkan sehingga Jun lalu itu melibatkan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM34,000.
Menurut laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada penguatkuasaan terhadap pemilik tempatan yang membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka.
“Kelantan antara negeri terawal membawa pemilik kenderaan terus ke mahkamah sebagai sebahagian usaha menjadikan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Sehingga Jun lalu, sebanyak 34 kes membabitkan pemilik kenderaan dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM34,000,” katanya.
Sewa antara RM50 hingga RM500 sebulan
JPJ Kelantan sebelum ini mengenal pasti taktik membabitkan warga Rohingya yang menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan bagi kegunaan harian mereka.
Kenderaan yang disewa turut merangkumi model mewah dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM500 sebulan.
Warga asing berkenaan dikatakan tidak membeli kenderaan secara terus, sebaliknya mendapatkannya melalui kaedah sewaan daripada pemilik tempatan.
Mohd Misuari berkata, 85 peratus daripada pesalah warga asing yang dikesan menerusi Ops PeWA dari Januari hingga Jun lalu merupakan warga Rohingya.
Dalam operasi itu, sebanyak 180 kenderaan diperiksa dan 105 daripadanya disita.
“Sebanyak 201 notis dikeluarkan membabitkan 439 kesalahan. Kesalahan tertinggi ialah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), iaitu 210 kes, diikuti penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan 105 kes,” katanya.
457 kenderaan disita
Secara keseluruhan, penguatkuasaan JPJ Kelantan dalam tempoh berkenaan menyaksikan 576 kenderaan diperiksa.
Daripada jumlah itu, sebanyak 457 kenderaan disita manakala 908 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Mohd Misuari menegaskan bahawa warga Rohingya tidak dibenarkan memandu di Malaysia tanpa mempunyai CDL yang sah.
Pemilik yang menyewa atau meminjamkan kenderaan kepada individu tanpa lesen memandu sah pula boleh didakwa mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan juga akan disita serta-merta jika didapati terbabit dalam kesalahan.
“Kami menggesa orang ramai tidak hanya mengejar keuntungan daripada sewaan kenderaan kerana tindakan tegas terus diambil bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Sumber: Berita Harian
