Lebih 1,000 kes membabitkan ibu tunggal, balu dan warga emas di Kelantan dipercayai diperalat warga asing untuk mendaftarkan kenderaan atas nama mereka sejak 2025.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, golongan berkenaan dipercayai dijanjikan perkahwinan atau peluang perniagaan oleh warga asing.
Menurutnya, kenderaan seperti kereta dan motosikal kemudiannya perlu didaftarkan atas nama individu terbabit sebelum digunakan di jalan raya.
“Ini taktik yang boleh saya sahkan sudah dikesan iaitu warga asing menggunakan wanita warga emas, ibu tunggal, balu dan golongan lebih berusia dengan menjanjikan untuk berkahwin atau menawarkan peluang perniagaan.
“Mereka menetapkan syarat kenderaan seperti kereta atau motosikal perlu didaftarkan atas nama individu terbabit sebelum digunakan di jalan raya,” katanya dalam satu podcast.
Pemilik Berdaftar Berdepan Risiko
Muhammad Kifli berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana wanita terbabit boleh berdepan risiko sekiranya kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka digunakan warga asing untuk melakukan kesalahan.
Katanya, pemilik berdaftar juga boleh berdepan tindakan undang-undang sekiranya kenderaan berkenaan terlibat dalam kemalangan atau digunakan untuk kegiatan jenayah.
Beliau berkata, jumlah kes yang direkodkan di Kelantan itu juga lebih tinggi berbanding negeri lain.
Muhammad Kifli turut mengingatkan wanita di negeri ini, khususnya mereka yang berusia antara 60 hingga 70 tahun, supaya lebih berhati-hati apabila didekati warga asing berusia 30-an yang menawarkan janji perkahwinan.
“Jangan biarkan diri dimanipulasi dengan janji manis.
“Jika kenderaan kemudiannya digunakan untuk kegiatan jenayah, nama anda boleh terpalit dan perkara ini boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri,” katanya.
JPJ Kesan Penggunaan Nama Rakyat Tempatan
Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, JPJ turut mengesan warga asing termasuk pelarian Rohingya menggunakan nama rakyat tempatan untuk membeli dan mendaftarkan motosikal serta kenderaan lain.
Beliau berkata, JPJ bersedia memohon tindakan mahkamah lebih tegas terhadap warga asing yang berulang kali melakukan kesalahan sedemikian, termasuk hukuman penjara.
Sumber: Sinar Harian
