Siapa sangka loghat Kelantan yang terkenal dengan sebutan unik dan gaya percakapannya tersendiri mempunyai persamaan dengan dialek masyarakat Scotland di United Kingdom (UK).
Perkara itu dikongsikan seorang pempengaruh dari Scotland, Alana Dunsmore, yang berkahwin dengan lelaki Kelantan menerusi satu video di media sosial miliknya.
Menurut Alana, kedua-dua dialek berkenaan mempunyai persamaan dari segi cara sebutan, khususnya apabila bunyi pada hujung perkataan digugurkan atau diubah.
Sebagai contoh, masyarakat Scotland tidak menyebut perkataan 'window' seperti sebutan bahasa Inggeris kebiasaan, sebaliknya menyebutnya sebagai 'windae'.
Situasi itu disifatkannya hampir sama dengan loghat Kelantan apabila perkataan 'pisang' disebut sebagai 'pise'.
Jelasnya, persamaan dari segi sebutan itu membuatkan loghat Kelantan kedengaran tidak asing baginya kerana mempunyai ciri yang hampir sama dengan dialek tempat asalnya.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai, terutama dalam kalangan pengguna media sosial yang turut memberikan pelbagai reaksi berseloroh.
Malah, ada yang mengaitkan persamaan itu dengan identiti orang Kelantan sehingga mencetuskan gurauan kononnya masyarakat negeri itu sebenarnya mempunyai 'saudara' di Eropah.
“Jadi Gordon Ramsay dari Kelantan?” seloroh Syahmie.
“Habis lah lepas ni, orang Kelantan 'claim' dia Scottish,” kata Azri.
“Orang Kelantan jangan bimbang, korang hanya salah tempat lahir. Sepatutnya korang di Eropah sekarang ini,” ujar Saiful.
Walaupun sekadar perkongsian santai, pendedahan Alana itu memperlihatkan bagaimana keunikan sesuatu dialek boleh menjadi penghubung budaya meskipun masyarakat yang menggunakannya tinggal berjauhan.
