Gajah jantan dikenali sebagai Sulong Chalil tidak semestinya sedang dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, sebaliknya dipercayai bergerak mengikut rutin semula jadinya di sekitar Banjaran Titiwangsa.
Pandangan itu dikongsikan pengguna media sosial, Ahmad Nazrul menerusi satu hantaran bersama gambar terbaharu Sulong yang menurutnya dirakam pada jam 9 pagi, 31 Ogos 2026.
Menurut Ahmad Nazrul, gajah sememangnya berjalan setiap hari untuk mencari makanan, air dan kawasan yang sesuai untuk meneruskan kehidupan.
“Sulong bukan nak balik ke Gua Musang.
“Dia memang bergerak naik dan turun di kawasan Banjaran Titiwangsa.
“Itu rutin semula jadinya.
“Semalam di puncak Titiwangsa.
“Hari ini di Jeli.
“Esok dia naik pula ke puncak Titiwangsa,” tulisnya.
Beliau turut mempersoalkan desakan sesetengah pihak yang mahu Sulong kembali ke Gua Musang sedangkan haiwan itu pernah terlibat dalam konflik dengan manusia ketika berada di daerah berkenaan.
Pernah cetus konflik dengan penduduk
Menurut Ahmad Nazrul, kehadiran Sulong di Gua Musang sebelum ini menyebabkan tanaman penduduk rosak, gangguan di kawasan kampung serta kebimbangan dalam kalangan penduduk untuk keluar dari rumah.
Malah, katanya, ada anak-anak yang takut untuk ke sekolah susulan kehadiran gajah terbabit.
“Korang nak dia balik Gua Musang untuk apa?
“Dulu ketika berada di Gua Musang pun ada konflik antara dia dan manusia.”
Beliau mendakwa penduduk Gua Musang pernah melancarkan kutipan dana bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memindahkan Sulong ke kawasan Gerik.
“Jadi, bila tiba-tiba ada netizen kata:
“‘Sulong kena balik ke habitatnya di Gua Musang!’
“Saya pun tertanya-tanya juga…
“Dia nak balik Gua Musang, atau kita yang nak dia balik?” katanya.
Biar Sulong hidup dalam habitatnya
Ahmad Nazrul berpendapat Sulong boleh terus berada di sekitar Banjaran Titiwangsa selagi kawasan tersebut sesuai dan selamat untuk haiwan berkenaan.
“Bagi saya, biarlah Sulong terus berada di kawasan Banjaran Titiwangsa selagi kawasan itu sesuai dan selamat untuknya.
“Di sana masih ada kawasan hutan dan sumber makanan yang banyak.
“Biarlah Sulong makan, berjalan dan hidup dalam habitatnya,” tulisnya.
Menurutnya, luka pada kaki Sulong juga sudah kering dan haiwan tersebut semakin aktif berjalan. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PERHILITAN kerana merawat gajah berkenaan.
Ahmad Nazrul meminta orang ramai supaya tidak panik atau membuat kesimpulan sendiri sekiranya Sulong sesekali keluar menghampiri jalan raya.
“PERHILITAN memang ada.
“Gajah-gajah ini dipantau.
“Kerja memantau dan mengurus hidupan liar bukan baru bermula kerana Sulong tular di media sosial.
“Cuma kita yang mungkin baru nampak sekarang,” katanya.
Jangan ganggu dan dekati gajah
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan setiap kemunculan Sulong sebagai bahan pertelingkahan di media sosial.
Sebaliknya, masyarakat diminta memberi ruang kepada PERHILITAN untuk menjalankan tugas selain membantu dengan tidak mengganggu, mengejar atau menghampiri gajah tersebut.
“Sulong bukan milik Gua Musang.
“Sulong bukan milik Gerik.
“Sulong ialah hidupan liar yang habitatnya merentasi kawasan hutan kita,” katanya.
Menurut Ahmad Nazrul, gajah yang tersesat memasuki kampung akan dipantau oleh PERHILITAN. Jika gangguan berlaku secara berterusan, haiwan itu boleh dipindahkan ke kawasan hutan tebal seperti di Gerik yang jauh dari penempatan manusia serta mempunyai sumber makanan.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang mengenai sumber makanan Sulong kerana gajah boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan di dalam hutan.
“Tengok saiz badannya pun korang dah boleh tahu yang gajah cukup makan dan tidak mengharapkan makanan dari manusia.
“Cukuplah tunggang isu Sulong.
“Cukuplah fitnah dan sebar kebencian kepada perhilitan,” katanya.
Ahmad Nazrul mendakwa penduduk Gua Musang berharap Sulong tidak kembali ke kawasan mereka kerana bimbang konflik lama berulang.
“Biar pakar yang uruskan Sulong.
“Biar pakar yang pantau Sulong.
“Biar Sulong kekal di Grik.
“Kita sokong dari jauh.
“Kita doa dari jauh,” katanya.
Sumber: Ahmad Fazrul
