BACHOK – Aksi perlumbaan keto ggalo atau traktor pembajak sawah yang diadakan sempena Festival Baruh Bachok 2025 di Kampung Kuchelong, Jelawat mencuri tumpuan ramai selepas video perlumbaan itu tular di TikTok.
Video berkenaan yang memaparkan aksi lucu dan menghiburkan peserta berlumba menggunakan keto galor di dalam baruh berlumpur mendapat lebih 200 ribu tanda suka di media sosial.
Perlumbaan yang digelar Perlumbaan keto ggalo itu menjadi antara acara paling mencuit hati dalam festival berkenaan apabila peserta beradu kelajuan sambil bergelut mengekalkan keseimbangan jentera masing-masing di tengah sawah.
Festival yang berlangsung pada 8 November 2025 itu turut menampilkan pelbagai aktiviti tradisional seperti belumba kereta ggalo, memancing dalam baruh, menangkap itik, dan beberapa permainan rakyat lain yang diadakan di kawasan sawah padi.
Festival Baruh Bachok 2025 diadakan bertujuan mengetengahkan keunikan budaya serta kemeriahan masyarakat tani Kelantan dalam suasana penuh warna-warni, di samping memperkenalkan warisan pertanian sebagai tarikan pelancongan baharu negeri ini.
Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jabatan Pelancongan Negeri juga dilaporkan berhasrat untuk mengangkat Festival Baruh Bachok sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri, dengan perancangan untuk penganjuran lebih besar pada masa akan datang.
Langkah itu dijangka mampu menarik pelancong dalam dan luar negara untuk merasai sendiri keunikan budaya masyarakat tani serta semangat gotong-royong rakyat Kelantan yang masih kekal hingga hari ini.
