Kalau mempunyai wang tunai RM125,000, mungkin ramai antara kita terfikir untuk membeli kereta baharu, mendapatkan sebidang tanah, membeli kebun sawit atau melabur dalam simpanan.
Namun, seorang anak jati Kampung Langkap Baru, Setiu, Terengganu mempunyai pilihan berbeza apabila sanggup menggunakan wang sebanyak itu untuk membeli seekor ayam jantan baka Pama dari Thailand.
Thong Kham menjadi ayam baka termahal pernah dibawa masuk ke Malaysia | Foto: Kerana Aku Lah Ahmad Itu BLACK
Ayam yang diberi nama Thong Kham itu dibeli secara tunai di Songkhla, Thailand, pada awal bulan lalu dengan harga RM125,000.
Nilai tersebut menjadikan Thong Kham antara ayam baka termahal yang pernah dibeli dan dibawa masuk ke Malaysia setakat ini.
Ambil Masa Lebih Sebulan Sebelum Nekad Membeli
Pemiliknya, Peja Langkap berkata, keputusan membeli ayam berkenaan bukan dibuat secara terburu-buru kerana jumlah wang yang perlu dikeluarkan sangat besar.
Malah, dia mengambil masa lebih sebulan untuk mempertimbangkan pembelian itu sebelum akhirnya membuat keputusan meneruskan hasratnya.
"Saya mengambil masa lebih sebulan berfikir untuk membeli ayam itu maklum lah ia membabitkan jumlah wang yang besar.
"Semua kawan-kawan menghalang dan tidak bersetuju tetapi untuk kepuasan diri, saya nekad membelinya," katanya ketika ditemui.
Thong Kham yang membawa maksud Jongkong Emas dalam bahasa Melayu itu kini ditempatkan di Peja Langkap Farm, Kampung Bukit Tumbuh, Terengganu.
Ladang Ayam Baka Seperti di Thailand
Keadaan ladang milik Peja turut menarik perhatian apabila fasiliti penternakannya dibina dengan konsep reban ala rumah banglo yang lengkap serta dikelilingi pagar batu.
Suasana di ladang itu dikatakan seakan-akan berada di pusat penternakan ayam baka terkenal di Thailand, sekali gus memperlihatkan kesungguhan Peja dalam mengusahakan bidang berkenaan.
Selain Thong Kham, beberapa ekor ayam baka lain termasuk induk betina turut dibeli pada harga tinggi bagi tujuan pembiakbakaan.
Antara ayam yang menjadi koleksinya dibeli pada harga RM26,000, RM15,500 dan RM13,000, manakala beberapa ekor lagi berharga antara RM5,000 hingga RM10,000 seekor.
Anak Thong Kham Dijual RM1,000 Seekor
Menariknya, pembelian ayam bernilai RM125,000 itu turut membuka peluang kepada Peja untuk mengembangkan pembiakbakaan di ladangnya.
Menurutnya, ramai peminat ayam baka dari seluruh Malaysia sudah mula membuat tempahan awal, termasuk membayar wang pendahuluan untuk mendapatkan anak-anak Thong Kham.
Anak ayam baka berkenaan dijual pada harga RM1,000 seekor.
Daripada seekor ayam bernilai RM125,000, kini anak ayam tersebut pula menjadi perhatian peminat dan penternak ayam baka yang mahu mendapatkannya.
Sumber: Kerana Aku Lah Ahmad Itu BLACK
