Industri Ikan Laga Lubuk Emas Belia Kelantan, Raih Ribuan Ringgit Semalaman

Industri penternakan ikan hiasan laga atau Betta yang suatu ketika dahulu sekadar hobi kini semakin berkembang menjadi sumber pendapatan lumayan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia di Kelantan.

Pengusaha ikan laga dari Bachok, Muhammad Izzad Haikal Mansor berkata, semakin ramai anak muda mula menceburi bidang tersebut kerana kos permulaannya yang rendah selain penjagaan yang lebih mudah berbanding ikan hiasan lain.

Menurutnya, dengan modal sekitar RM50 hingga RM100 sahaja, seseorang sudah boleh membeli sepasang induk ikan laga untuk memulakan penternakan.

Modal Kecil, Potensi Keuntungan Besar

“Hanya dengan modal sekitar RM50 hingga RM100, seseorang sudah boleh membeli sepasang induk. Proses penjagaannya juga lebih mudah berbanding ikan hiasan lain kerana tidak memerlukan sistem pam oksigen.

“Pengusaha hanya menggunakan air tiub atau air telaga,” katanya kepada Bernama pada Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 di Bachok.

Muhammad Izzad Haikal Mansor penternak ikan laga

Foto: Bernama


Beliau berkata, nilai komersial ikan laga bergantung kepada gred, warna serta kualiti bentuk dan sirip ikan tersebut.

Bagi pasaran biasa, ikan laga dijual pada harga sekitar RM5 hingga RM10 seekor. Namun bagi baka hibrid spesifikasi pertandingan seperti Multi-color dan AOC, harganya boleh mencecah RM600 hingga RM700 seekor.

Menurutnya, ketika era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau pernah menjual seekor ikan laga juara pertandingan pada harga RM1,500.

Peluang Ekonomi Sampingan

Muhammad Izzad turut mendedahkan bahawa industri tersebut bukan sahaja memberi keuntungan kepada penternak, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya, makanan hidup seperti jentik-jentik sangat diperlukan bagi memastikan tumbesaran dan kualiti warna ikan laga.

“Pernah ada penduduk tempatan memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari hanya dengan mencari dan menjual jentik-jentik liar di longkang kepada penternak pada harga RM10 sebungkus,” katanya.

ikan laga HM Neon AOC, HMPK Neon Pattern

Foto: Bernama


Beliau menjelaskan bahawa penghasilan ikan laga bertaraf juara memerlukan kesabaran yang tinggi kerana proses penjagaan dan grooming mengambil masa kira-kira empat bulan.

Selain menggunakan daun ketapang untuk merawat air dan meniru habitat semula jadi, penternak juga perlu menyediakan diet yang sesuai bagi memastikan kualiti ikan berada pada tahap terbaik.

Cabaran Tembusi Pasaran Antarabangsa

Walaupun Malaysia mempunyai lebih 260 jenis baka mutasi genetik yang didaftarkan dan diiktiraf dari segi kepakaran pembiak baka, penternak tempatan masih berdepan kesukaran untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menurutnya, antara cabaran utama ialah syarat kuarantin dan peraturan pergerakan haiwan hidup yang lebih ketat berbanding negara jiran seperti Thailand.

Justeru, beliau berharap syarat berkenaan dapat diteliti semula agar penternak tempatan mampu bersaing dengan lebih baik di pasaran global.

Dalam masa sama, beliau memuji peranan Jabatan Perikanan yang sentiasa membantu penternak menerusi penyediaan bantuan infrastruktur asas seperti rak dan bekas takungan ikan.

Katanya, penganjuran pertandingan ikan laga hampir setiap hujung minggu di seluruh negara membuktikan industri tersebut mempunyai masa depan yang cerah serta berpotensi mengangkat nama Malaysia dalam arena ikan hiasan antarabangsa.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Istilah Rohingya Hanya Muncul Sekitar 1950an, Dari Mana Datangnya Etnik Ini Sebenarnya?
|
Istilah “Rohingya” hari ini dikenali di seluruh dunia sebagai…
Penerbangan Sulung Kota Bharu-Jakarta Cipta Sejarah Baharu Buat Kelantan
|
Sejarah baharu tercipta apabila penerbangan sulung AirAsia bagi laluan…
‘Punggung Isteri Menggerutu’ Antara 23 Alasan Pelik Penceraian Pasangan Muda
|
Punca perceraian dalam kalangan pasangan yang masih “setahun jagung”…
PGA Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Masak Dan Gula Ke Thailand Di Rantau Panjang
|
Kegiatan warga Thailand yang membeli minyak masak dan gula…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!