Belalang Kerek Bukan Sekadar Hobi, Main Peranan Dalam Ekosistem

Fenomena memelihara dan mempertandingkan serangga eksotik dikenali sebagai “belalang kerek” kini bukan lagi sekadar hobi bermusim, malah berpotensi diangkat sebagai identiti dan warisan budaya lestari negeri Kelantan.

Ketua Jabatan Sains Praklinikal Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Goh Soon Heng berkata trend itu semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kerana tidak memerlukan perbelanjaan tinggi, selain mampu merapatkan hubungan komuniti setempat.

“Belalang ini biasa ditemukan di kawasan kampung dan masyarakat dahulu gemar mendengar bunyinya. Daripada sekadar memelihara, ia kini berkembang untuk tujuan pertandingan sekali gus menyatukan komuniti peminat belalang.

“Penyertaan golongan muda amat penting kerana mereka adalah pelapis yang akan memastikan warisan ini terus berkembang dan dianjurkan saban tahun,” katanya kepada Bernama.

Pertandingan Unik, Dinilai Melalui Bunyi

Menurut Dr Goh, pertandingan belalang kerek mempunyai format yang unik kerana pemenang tidak dinilai berdasarkan saiz fizikal serangga tersebut.

Sebaliknya, penilaian dibuat melalui keunikan dan kekerapan bunyi desingan yang dihasilkan.

“Pertandingan ini sangat unik kerana ia biasanya berlangsung pada waktu malam dengan lampu ditutup. Peserta tidak dapat melihat belalang, mereka hanya mendengar bunyinya.

“Penilaian dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu kemerduan nada dan kekerapan bunyi. Juri akan mengira berapa banyak desingan yang mampu dikeluarkan oleh belalang berkenaan dalam tempoh 30 saat,” katanya.

Boleh Membesar Hingga 8 Sentimeter, Jangka Hayat 12 Bulan

Menyentuh aspek saintifik, Dr Goh berkata belalang kerek dewasa boleh membesar sehingga lapan sentimeter dan mempunyai jangka hayat purata sekitar 11 hingga 12 bulan.

Katanya, pembiakan belalang kerek dalam kurungan memerlukan penyediaan ekosistem kecil yang kondusif, termasuk daun pelbagai jenis sebagai sumber makanan serta medium seperti tanah atau batang kayu untuk belalang betina bertelur.

Penting Dalam Ekosistem, Tapi Boleh Jadi Perosak

Menurutnya, serangga endemik itu penting dalam rantaian ekosistem kerana membantu mengawal populasi tumbuhan liar dan rumpai perosak di kawasan semak, selain menjadi sumber makanan kepada burung dan haiwan pemangsa lain.

Namun, konflik boleh berlaku sekiranya habitat asal belalang kerek terjejas.

“Konflik hanya akan timbul apabila habitat asal haiwan itu terjejas. Tanpa sumber makanan semula jadi, belalang ini akan beralih ke kawasan pertanian sayur dan berisiko menjadi serangga perosak,” katanya.

Bukan Belalang Yang Dimakan Orang

Dalam pada itu, beliau turut membetulkan salah faham masyarakat mengenai amalan memakan belalang.

Katanya, spesies yang lazimnya digoreng dan dimakan adalah ‘belalang kunyit’ yang terdapat di sawah padi, bukannya belalang kerek.

Jangan Tangkap Berlebihan

Walaupun aktiviti ini semakin popular, Dr Goh menasihatkan masyarakat agar tidak mengeksploitasi tangkapan belalang kerek secara berlebihan di habitat asal kerana ia boleh mengganggu rantaian ekosistem.

“Buat masa ini, permintaan komersial (jualan) belum begitu tinggi kerana masyarakat lebih gemar menangkapnya sendiri. Namun, sekiranya populasi liar mula berkurangan suatu hari nanti, permintaan untuk membelinya pasti akan meningkat.

“Sebab itu, kajian perlu sentiasa dilakukan untuk memahami impak haiwan ini. Kita perlu tahu berapa cepat ia membiak agar kita dapat menetapkan had kekerapan tangkapan yang selamat,” katanya.

Melihat kepada unjuran lima hingga 10 tahun akan datang, beliau yakin pemeliharaan belalang kerek mampu kekal sebagai aktiviti budaya yang utuh, selain memupuk kesedaran masyarakat untuk lebih menghargai bunyi-bunyian alam semula jadi.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Cemburu Dipercayai Punca Pelajar Kolej Ditikam 61 Kali Di Ketereh, Polis Sifatkan Kes Selesai
|
Motif cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej…
Belalang Kerek Bukan Sekadar Hobi, Main Peranan Dalam Ekosistem
|
Fenomena memelihara dan mempertandingkan serangga eksotik dikenali sebagai “belalang…
Gadis Ditikam 61 Kali Keluar Makan Dengan 2 Suspek, Muat Naik Status WhatsApp Jam 11 Malam
|
Kes pembunuhan penuntut kolej wanita yang ditemukan mati dengan…
“Baru Sabtu Lepas Kami Hantar Dia…” Abang Mangsa 61 Tikaman Luah Sebak
|
“Baru Sabtu minggu lalu kami hantar adik menyambung semester…
Kes Pelajar Wanita Ditikam 61 Kali Di Ketereh: Dua Suspek 19 Tahun Ditahan Polis
|
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kematian…
“Bersyukur Masih Hidup…” Penjaga Lembu Ditembak Di Pipi Tak Serik Terus Bekerja
|
“Bersyukur masih hidup.”Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran…
Jawatan Kosong Kelantan