Satu rakaman video memaparkan enam lelaki mendakwa mengisytiharkan diri keluar daripada Islam 'versi' Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencetuskan perhatian selepas tular di media sosial.
Video yang dikongsikan seorang pengguna menerusi platform Threads itu menunjukkan kesemua lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai berasal dari Malaysia, termasuk Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan sebelum membuat pengakuan secara berasingan.
Mereka menggunakan istilah 'Islam JAKIM' ketika menyatakan pendirian masing-masing, malah ada yang mendakwa kini mengikuti ajaran yang dianggap sebagai Islam sebenar menerusi agama Ahmadi Keamanan dan Cahaya.
Lebih mencuri perhatian, terdapat individu yang melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengisytiharkan keluar daripada Islam yang dikaitkan dengan JAKIM.
Mereka turut memberikan alasan bahawa Islam sebenar adalah berlandaskan ketaatan kepada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan wasiat baginda.
Video Dikaitkan Dengan Ajaran Ahmadi
Individu yang berkongsi rakaman itu turut mempersoalkan tindakan lelaki terbabit dan mendakwa mereka dipercayai tidak menetap di Malaysia.
Beliau turut menggesa JAKIM serta ahli keluarga individu berkenaan supaya memberikan perhatian terhadap perkara yang tular itu.
Dalam ruangan komen, seorang pengguna Threads mendakwa kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL), selain mendakwa pengikutnya merupakan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.
Setakat laporan ini ditulis, maklum balas rasmi JAKIM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan masih dinantikan.
