Roberto Carlos Dilaporkan Memeluk Islam, Lafaz Syahadah Empat Minggu Lalu

Legenda bola sepak Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos dilaporkan telah memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Brazil kira-kira empat minggu lalu.

Perkara itu dikongsikan ahli politik Turkiye, Ali Şahin menerusi satu hantaran di platform X selepas bertemu pemimpin komuniti Islam Brazil, Sheikh Jihad Hammadeh di São Paulo.

Menurut perkongsian Ali Şahin, beliau mengetahui perkara tersebut daripada Sheikh Jihad yang juga Naib Presiden dan Penasihat Agama Persatuan Ahli Perundangan Islam Kebangsaan Brazil (ANAJI).

“Sheikh Jihad Hammadeh berkongsi berita baik bahawa Roberto Carlos, seorang tokoh legenda dalam dunia bola sepak dan Brazil yang juga memakai jersi Fenerbahçe, telah lama berhubung dengannya dan melawatnya empat minggu lalu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk Islam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Roberto Carlos atas keislamannya dan mendoakan agar beliau dan keluarganya menjalani kehidupan yang penuh dengan keamanan, kesihatan, dan kemakmuran,” katanya.

Media Turkiye turut melaporkan dakwaan tersebut dengan menyatakan Roberto Carlos dikatakan sudah lama berhubung dengan Sheikh Jihad sebelum mengunjunginya dan melafazkan syahadah.

Bagaimanapun, setakat ini Roberto Carlos atau keluarganya belum mengeluarkan kenyataan terbuka bagi mengesahkan laporan berkenaan.

Isteri Dipercayai Memainkan Peranan

Sebuah laporan turut menyatakan ejen bola sepak berdarah Maghribi-Lubnan, Suhaila Al-Tahiri memainkan peranan besar dalam perjalanan Roberto Carlos mengenali Islam.

Suhaila dilaporkan baru-baru ini berkahwin dengan bekas pemain berusia 53 tahun itu.

Ali Şahin pula berada di Brazil sebagai sebahagian daripada rombongan pegawai dan ahli Parlimen Turkiye yang mengadakan kunjungan ke beberapa negara Amerika Selatan.

Kunjungan tersebut bertujuan membantu mengeratkan hubungan Turkiye dengan negara-negara di rantau berkenaan termasuk Brazil.

Roberto Carlos dianggap antara bek kiri terbaik dalam sejarah bola sepak. Beliau mencipta nama bersama Real Madrid sebelum menyertai kelab Turkiye, Fenerbahçe pada 2007.

Sumber: Daily Sabah, A News

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!